Reuters

Kyiv: Seorang pendandan rambut pada siang hari dan "pemburu dron" pada waktu malam, Oleksandr Shamshur adalah antara puluhan ribu sukarelawan yang membantu mempertahankan langit Ukraine daripada serangan Rusia.

Ketika ulang tahun pertama pencerobohan Rusia pada 24 Februari semakin hampir, Ukraine semakin mahir menembak jatuh peluru berpandu dan dron Rusia yang ditembak ke bandar yang jauh dari barisan hadapan, dan Shamshur berbangga dengan peranannya sendiri.

Anggota unit pertahanan wilayahnya, termasuk seorang peguam dan ahli perniagaan, bertindak balas terhadap amaran serangan udara di dalam dan sekitar ibu kota Kyiv dengan berusaha untuk menjatuhkan dron Shahed-136 buatan Iran dengan mesingan Perang Dunia Kedua yang dipulihkan.

"Saya seorang yang sangat gembira. Kenapa? Kerana saya mempertahankan negara saya. Saya mempertahankan rakyat Ukraine kita," kata Shamshur.

Seorang rakan seperjuangannya sedang melaraskan tong hijau mesingan "Maxim" buatan Soviet.

"Tetapi pada masa sama saya boleh datang ke salon kecantikan dan bekerja dengan orang ramai, melakukan kerja yang saya tahu, memotong rambut dan bercakap dengan pelanggan," kata Shamshur.

Beliau berkata sebagai orang awam tidak pernah terfikir untuk "lari dan bersembunyi di suatu tempat" apabila puluhan ribu tentera perisai Rusia menyerbu masuk ke Ukraine pada musim sejuk lalu dan mula mengebom Kyiv dan bandar-bandar lain.

"Dengan musuh di ambang pintu, saya terpaksa melakukan sesuatu, saya terpaksa bertindak dalam pertahanan," katanya.

Pada malam 30 Disember lalu, Shamshur berkata, unitnya menembak jatuh dua dron.

Pasukannya juga telah berkongsi kemahiran yang mereka pelajari kepada unit lain.

Shamshur memakai beberapa lencana pada pakaian seragam penyamarannya, termasuk satu yang tertera "Pemburu Dron", dalam bahasa Inggeris, dan satu lagi dalam bahasa Ukraine berbunyi "Ronin" - seorang pahlawan Jepun feudal.

Apabila Rusia menyerang, Shamshur - seorang tentera simpanan sebelum perang - mengetahui bahawa pangkalan tenteranya telah dimusnahkan oleh tembakan Rusia jadi dia menyertai pertahanan.

Di tempat kerja di salunnya, dia masih memakai khaki tentera sambil menggayakan rambut pelanggan.

Dia berkata dia cuba untuk tidak bercakap dengan pelanggannya tentang perang, menggelar peperangan sebagai "gelap".

Shamshur bertugas sebagai pendandan rambut dan dalam masa sama menyertai pasukan pertahanan Ukraine.  - FOTO Reuters
Shamshur bertugas sebagai pendandan rambut dan dalam masa sama menyertai pasukan pertahanan Ukraine. - FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 6:59 PM