GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

RIADAH adalah satu bentuk aktiviti fizikal yang dilakukan dalam jangka masa tertentu, secara berulang kali bertujuan meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan.

Pakar kesihatan menyarankan aktiviti riadah sebagai ubat paling mujarab untuk merawat, mengawal dan menguruskan kesihatan disebabkan pelbagai kebaikan, antaranya mengelak penyakit, mengekal stamina, mendapat tubuh badan yang sihat di samping melepaskan tekanan yang dihadapi.

Beriadah juga adalah langkah bagi mengatasi masalah kesihatan mental disebabkan perasaan bimbang, risau, takut dan cemas terhadap kesan pandemik Covid-19.

Beriadah di persekitaran semula jadi seperti taman rekreasi dan tasik cukup mendamaikan, dengan sesekali lari daripada kesibukan hutan konkrit yang 'melemaskan'.

Menghirup udara segar dan menikmati pemandangan hijau flora mampu meningkatkan tahap kesihatan individu, merehatkan minda dan menambah kecergasan badan.

Tahap kesihatan juga bertambah baik apabila terdedah dengan sinaran matahari terutama di waktu pagi yang kaya dengan vitamin D serta oksigen yang sememangnya amat diperlukan oleh badan.

Kehijauan alam semula jadi menawarkan sumber yang murah untuk peningkatan aktiviti fizikal dan seterusnya mengurangkan gangguan berkaitan stres dan gaya hidup seperti sindrom burnout, obesiti, dan penyakit kardiovaskular.

Hasil fisiologi termasuk denyutan jantung, tekanan darah dan kawalan autonomi (menggunakan variabiliti kadar denyutan jantung) dan penanda endokrin termasuk noradrenaline, adrenalin dan kortisol (ukuran objektif stres) dipertingkatkan melalui senaman dalam persekitaran hijau.

PROF Madya Dr Haliza Abdul Rahman
PROF Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Menariknya, lima minit pertama beriadah dalam persekitaran hijau mempunyai kesan besar terhadap mood dan keyakinan diri, yang memberi manfaat kesihatan psikologi dengan segera.

Ini kerana alam membolehkan pemulihan tekanan melalui tindak balas semula jadi kita terhadap ciri-ciri persekitaran semula jadi seperti keterbukaan ruang, kehadiran corak atau struktur dan ciri-ciri air.

Persepsi ciri-ciri ini mencetuskan tindak balas emosi positif yang berkaitan dengan keselamatan dan kelangsungan hidup terutama pemulihan daripada keletihan, membantu memotivasi aktiviti fizikal dengan meningkatkan keseronokan dan melepaskan diri daripada aktiviti harian, bersama-sama dengan nilai sosial dan hiburan.

Jangan mencemar

Ternyata melakukan aktiviti senaman di persekitaran semula jadi membawa banyak manfaat kepada individu. Justeru, alam sekitar perlulah dipelihara dan tidak boleh sewenangnya dicemari sebagai menghargai perkhidmatan yang ditawarkan.

Namun ketika beriadah terdapat segelintir individu yang tidak bertanggung jawab mencemari alam sekitar dengan sewenang membuang pelbagai jenis sampah sarap semasa dan selepas beriadah.

Antaranya sisa makanan termasuk bahan bungkusan makanan dan minuman yang jika dibiarkan menyebabkan keadaan sekeliling berbau busuk.

Jenis sampah lain yang turut dibuang adalah plastik, puntung rokok malah pelitup muka. Merujuk penggunaan pelitup muka, ia adalah langkah berkesan bagi mengelakkan penularan Covid-19, namun dengan mewajibkan pelitup muka di kawasan sesak dan tumpuan umum, ia sebenarnya menjadi 'ancaman' kerana segelintir dilihat membuang pelitup muka secara sembarangan.

Hal ini membimbangkan kerana selain mengancam kesihatan, ini turut memudaratkan ekosistem dan spesies akuatik.

Paling teruk, ia akan berada di mana-mana memandangkan ciri produk yang ringan dan mudah melayang. Bahan plastik seperti beg plastik dan botol plastik pula tidak mudah mereput dan jika tidak dibersihkan ianya akan kekal mencemari kawasan itu.

Sampah yang terdiri daripada benda tajam seperti pecahan kaca dan potongan tin pula menyebabkan kawasan yang dikotori berbahaya kepada keselamatan individu lain.

Pembuangan sampah-sarap ke dalam air akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada alam sekitar terutamanya kepada hidupan dalam air.

Selain daripada kesan secara fizikal, sampah yang mengandungi kimia atau bahan organik seperti sisa-sisa makanan, jika dibuang secara berterusan ke dalam kawasan air yang sama boleh menyebabkan air kolam/tasik dilimpahi nutrien yang berlebihan.

Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya proses eutrofikasi yang mana nutrien itu menyebabkan pertumbuhan alga secara berlebihan dan apabila alga ini mati, bakteria yang mereputkan alga akan menggunakan jumlah oksigen yang banyak hingga menyebabkan hidupan air yang lain tidak dapat hidup kerana kekurangan oksigen.

Pembuangan sampah ke dalam laluan air seperti longkang dan anak sungai pula menimbulkan masalah banjir kilat atau memburukkan lagi keadaan banjir di sesuatu kawasan disebabkan longkang atau anak sungai yang mengalirkan air keluar di kawasan itu tersumbat oleh sampah sarap.

Sikap masyarakat yang tidak beretika terhadap alam sekitar ini menimbulkan pelbagai impak negatif dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif dan sejahtera.

Persekitaran yang kotor akibat pembuangan sampah sarap boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kacau ganggu kepada persekitaran.

Kawasan persekitaran yang kotor juga mengundang kehadiran vektor seperti tikus, lalat dan nyamuk yang menjadi punca kepada penularan wabak penyakit seperti denggi dan leptospirosis yang berpotensi menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat sekitar.

Kesan lain adalah penjejasan estetika yang memberi kesan visual yang negatif, menjejaskan imej sesuatu kawasan dan memberikan gambaran bahawa penduduk di kawasan itu 'pengotor' walaupun ianya akibat sikap segelintir masyarakat saja.

Ironinya, masyarakat memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.

Janganlah kita mementingkan kebersihan semasa di rumah saja, namun apabila berada di tempat awam, sikap kita berubah dengan mengambil sikap acuh tak acuh terhadap kebersihan dengan membuang sampah sarap sewenang-wenangnya.

Kurangnya kesedaran sivik kalangan segelintir masyarakat adalah penyebab utama mengapa mereka mengabaikan kebersihan di tempat awam.

Kebersihan di tempat awam tidak diberikan perhatian sewajarnya kerana mereka beranggapan bahawa bersih atau kotornya tempat awam tidak ada kena-mengena dengan kesihatan dan keharmonian hidup mereka.

Malahan memelihara dan menjaga kebersihan di tempat awam tidak diambil kira sebagai kewajipan yang harus dipikul bersama.

Aspek kebersihan terangkum sebagai salah satu komponen penting dalam agenda pembangunan lestari malahan menjaga kebersihan itu adalah tuntutan agama.

Maka, setiap individu masyarakat perlu mengelakkan tanggapan bahawa kebersihan di taman rekreasi awam bukanlah tanggungjawab mereka untuk memeliharanya tetapi tanggungjawab pihak lain iaitu pengelola taman awam seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dianggap bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penjagaan kebersihan awam.

Amalan kebersihan harus dijadikan satu budaya atau cara hidup masyarakat. Justeru, masyarakat harus membudayakan aspek kebersihan yang ternyata memberi kita keselesaan hidup, janganlah kerana nak sihat, alam sewenangnya dicemari.

Ingatlah jika alam sekitar bersih dan terpelihara, masyarakat akan sihat dan negara pastinya sejahtera!

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:27 PM