Sultan Johor mengemudi sendiri 'Air Boat' milik baginda hampir sejam bermula jam 9 pagi tadi, dengan menyusuri Sungai Danga bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaraan. FOTO IHSAN FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Sultan Johor mengemudi sendiri 'Air Boat' milik baginda hampir sejam bermula jam 9 pagi tadi, dengan menyusuri Sungai Danga bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaraan. FOTO IHSAN FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Oleh Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kesal dengan pemandangan Sungai Danga di sini, yang dicemari dengan sampah sarap sehingga mengotori sepanjang lembangan sungai berkenaan.

Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook rasmi baginda bertitah supaya Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan, segera mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di sungai.

"EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar ambil perhatian perkara ini, jangan tengok masalah kesihatan sahaja, manakala penjagaan alam sekitar juga penting untuk kehidupan rakyat.

"Kerja-kerja perlu dilakukan secara berterusan, begitu juga aspek penguatkuasaan dan pemantauan. Jangan tunggu hingga ditegur, baru kerja hendak dijalankan," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Sultan Ibrahim turut bertitah supaya EXCO terbabit segera menyediakan laporan berhubung punca masalah pencemaran sampah sarap di sungai-sungai.

"Banyak peruntukan disalurkan kepada agensi dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga sungai dan alam sekitar, namun tiada kesan," titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim mencemar duli mengemudi sendiri 'air boat' milik baginda hampir sejam bermula jam 9 pagi tadi, dengan menyusuri Sungai Danga bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 5:08 PM