Tindakan membuang sampah merata-rata mencerminkan kemunduran tamadun.
Tindakan membuang sampah merata-rata mencerminkan kemunduran tamadun.
Mohd Rozaimy Ridzuan

Tindakan membuang sampah merata-rata mencerminkan kemunduran tamadun bagi sesebuah masyarakat. Enam dekad Malaysia menjadi sebuah negara yang merdeka namun, kurang menampakkan sosok masyarakat kelas pertama apabila masih terdapat sebilangan manusia yang membuang sampah-sarap di lebuh raya. Tindakan sebegini jauh sekali menyimpang dengan tuntutan agama yang kebanyakannya menitikberatkan aspek kebersihan. Perjalanan dan usaha negara ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari, Ekonomi Hijau, Ekonomi Biru, Ekonomi Kitaran dan sebagainya senang sahaja dipatahkan oleh sebilangan manusia yang langsung tidak ada sifat segan, membuang sampah dari kenderaan ke atas jalan raya.

Pertambahan populasi dan peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat sedikit sebanyak menyumbang kepada pencemaran dan persekitaran yang tidak bersih. Isu ini ibarat seperti tiada kesudahan sungguhpun pelbagai program dan kempen dijalankan bagi mengekang aktiviti yang tidak bertamadun itu.

Ketika artikel ini ditulis, berjuta-juta pengguna jalan raya menuju ke kampung halaman untuk menyambut hari raya Aidilfitri setelah dua tahun terikat disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malangnya, ada sebilangan pengguna jalan raya yang sewenang-wenangnya membuang sampah ke atas jalan raya. Antara, sampah-sarap yang dibuang atau ditinggalkan pengguna lebuh raya adalah bekas polistrin, plastik, lampin pakai buang dan lain-lain.

Lebuhraya Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Pahang dan Kelantan dilihat penting bagi mengurangkan kesesakan trafik terutamanya ketika waktu puncak dan musim cuti perayaan. Namun, kemudahan yang disediakan tidak digunakan sebaiknya oleh sebilangan pengguna jalan raya yang menjadikan lebuh raya berkenaan seperti tapak perlupusan sampah.

Kelakuan sebegini bukan sahaja mengurangkan daya tarikan estetik sesuatu tempat awam, tetapi juga boleh menyumbang kepada berlakunya kejadian banjir disebabkan oleh sekatan pada sistem saliran longkang dan parit di lebuh raya. Lebuhraya Bukit Kukus yang baru dua bulan dibuka kepada orang ramai telah mengalami banjir disebabkan sikap segelintir pengguna lebuh raya yang bergambar di atas lebuh raya dan meninggalkan sampah-sarap.

Banjir yang berlaku di lebuh raya sudah pasti mengakibatkan kesesakan trafik yang teruk. Selain itu, kemalangan juga boleh berlaku kerana air yang bergenang di atas jalan raya boleh menyebabkan pemandu hilang kawalan dan merempuh kenderaan lain.

Selain itu, kemalangan yang meragut nyawa juga berpunca daripada pemandu yang cuba mengelak melanggar sampah-sarap yang terjatuh dari trak dan lori di lebuh raya. Sampah sarap bertebaran di atas jalan raya juga boleh menarik perhatian haiwan mendekatinya dan mengakibatkan kemalangan jalan raya. Yang paling menyedihkan apabila ada pekerja yang meninggal dunia akibat dilanggar kenderaan ketika mereka sedang menjalankan kerja pembersihan di jalan raya seperti yang pernah berlaku di Kilometer 453.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara.

Pada penghujung November 2019, kerajaan memperkenalkan Dasar Kebersihan Negara bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih dan seterusnya menjadi destinasi pilihan pelancong. Terdapat lima kluster yang digariskan di dalam dasar itu, termasuklah kesedaran terhadap kebersihan, kelestarian alam sekitar, ekonomi kitaran, tadbir urus dan penguatkuasaan, serta modal insan berkualiti dan berkemahiran. Kempen Berani Tegur adalah antara program yang dianjurkan untuk memberi galakan kepada masyarakat supaya berani menegur sesiapa yang membuang sampah merata-rata.

Sebelum ini, terdapat satu video tular di media sosial apabila seorang pemandu lori keluar dari kenderaannya untuk mengutip sampah dan memulangkan semula sampah yang dicampak keluar oleh seorang pemandu kereta. Sikap pemandu lori itu dilihat berani dan perlu dipuji kerana beliau menjalankan peranan sosial bagi mengekang kelakuan tidak bertanggungjawab terbabit. Dalam konteks ini, prinsip 'jaga tepi kain orang' dilihat perlu selagi mana ia dijalankan dengan niat untuk mendidik dan menasihati masyarakat dan bukannya dengan provokasi yang boleh membawa kepada penggelutan dan pergaduhan.

Namun, terdapat beberapa solusi lain yang dilihat wajar dilaksanakan bagi menghalang orang awam untuk membuang sampah-sarap di merata tempat. Kerajaan perlu membangunkan satu aplikasi di telefon pintar bagi membolehkan orang awam untuk membuat aduan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang membuang sampah di atas jalan raya. Kamera perakam video di kenderaan persendirian bukan sahaja membantu manusia dan penguat kuasa untuk membuat pengesanan berkaitan kes kemalangan jalan raya. Malah, ia juga boleh dijadikan alat untuk merekod kelakuan rakyat yang tidak bertanggungjawab membuang sampah-sarap dari kereta ke atas jalan raya. Video yang dirakam itu boleh dihantar menggunakan aplikasi yang disediakan bagi membenarkan pihak kerajaan memulakan aktiviti pendakwaan.

Walaupun agak klise, namun jumlah denda yang dikenakan perlu dipertingkatkan bagi menampakkan bahawa kerajaan memandang serius terhadap permasalahan pembuangan sampah sarap di atas jalan raya. Cara ibu bapa dan guru di Jepun dalam mendidik anak-anak untuk menjaga kebersihan perlu dijadikan model bagi membudayakan amalan penjagaan kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Apabila kanak-kanak diberikan pendedahan berkaitan kepentingan penjagaan kebersihan sejak azali lagi, mereka akan cenderung untuk melakukan amalan itu dengan mudah dan akan dapat mempengaruhi ahli keluarganya dalam jangka masa panjang.

Kerajaan diharapkan jangan pernah penat untuk sentiasa mengingatkan rakyat untuk menjaga kebersihan alam sekitar dengan iklan-iklan yang menarik di televisyen, radio, dan info grafik yang menarik dan mudah difahami baik di media sosial mahupun di papan iklan.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 7:01 AM