Gabrielle Petito and Brian Laundrie
Gabrielle Petito and Brian Laundrie
Syah Rul Aswari Abdullah

Minat pembaca generasi masa kini amat sukar diramal. Adakalanya kisah yang dipaparkan oleh media yang mungkin besar nilai beritanya, hanya 'dipandang sepi'. Ada pula masanya isu yang dianggap berat seakan mudah 'dihadam' oleh pembaca.

Justeru, apabila kisah Gabby Petito menjadi sohor kini (trending), penulis tertanya-tanya mengapa individu ini menjadi topik perbualan.

Lebih menghairankan, kebanyakan daripada mereka yang membincangkan isu ini, tidak gemar mengambil tahu isu semasa. Ia termasuk adik kepada penulis.

Pada masa sama, Petito bukanlah gadis yang popular di media sosial. Jika dilihat dari segi pengikut, Petito, 22, hanya gadis biasa. Dia bukanlah seperti selebriti TikTok lain yang kaya dengan hanya menjadi pempengaruh (infeluncer) di media sosial.

Untuk yang masih tidak kenal, Petito adalah wanita muda yang mengembara ke seluruh Amerika Syarikat (AS), dengan menaiki van Ford berwarna putih bersama tunangnya, Brian Laundrie, 23, mulai Jun lalu.

Tujuan mereka adalah untuk melawat taman-taman negara di AS.

Ketika itu, kebanyakan daripada kita baru belajar untuk kembali 'berkurung' di dalam rumah apabila sekatan pergerakan penuh mula dikuatkuasakan di negara ini.

Sepanjang pengembaraan, Petito mendokumentasikan pengembaraannya. Antaranya di Monument Rocks, Kansas; Great Sand Dunes, Colorado dan Taman Negara Bryce Canyon di Utah. Wanita itu sering berkongsi pengalaman uniknya menerusi tanda pagar popular #VanLife.

Namun, dia sebenarnya hanya popular selepas dilaporkan hilang oleh ibunya, Nichole Schmidt pada 11 September lalu.

Ia selepas Laundrie kembali ke rumah mereka di North Port, Florida pada 1 September, tanpa bersama tunangnya itu.

Ketika disoal siasat oleh polis, Laundrie tidak mahu memberikan kerjasama.

Schmidt yang tinggal di Long Island, New York mengatakan kali terakhir bercakap dengan anaknya adalah menerusi FaceTime pada 24 Ogos lalu.

Schmidt turut mengatakan dia menerima pesanan ringkas pada 30 Ogos, namun tidak percaya pesanan itu dihantar oleh anak perempuannya.

Pada 17 September, Laundrie pula dilaporkan hilang. Menurut ahli keluarga, kali terakhir lelaki itu dilihat membawa beg galas dan memberitahu, mahu pergi ke Hutan Rizab Carlton dekat rumah mereka di North Port, Florida.

Pada 19 September iaitu lapan hari selepas laporan individu hilang dibuat oleh Schmidt, pasukan pencarian menemukan satu mayat berhampiran Taman Negara Bridger-Teton, Wyoming.

Dalam satu sidang media, ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Charles Jones mengatakan mayat itu sepadan dengan gambaran identiti Petito.

FBI kemudian mengesahkan mayat itu sebagai Petito dan mengklasifikasikan kematian wanita itu sebagai kes bunuh.

Susulan itu, pihak berkuasa menamakan Laundrie sebagai suspek utama dan sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki itu.

Dua ganjaran berjumlah AS$30,000 (RM125,580) juga menanti mereka yang dapat memberikan maklumat mengenai keberadaan Laundrie.

Dalam kes ini, nama Petito tiba-tiba popular selepas kehilangannya tular di TikTok. Dalam kes ini, netizen menjadi detektif tidak bergaji. Mereka meneliti setiap profil media sosial milik Petito dan Laundrie, untuk mencari klu yang boleh mengaitkan kes kematian Petito.

Profil Instagram milik Petito yang pada mulanya hanya mempunyai 1,000 pengikut ketika laporan kehilangannya, kini sudah mengumpul 1.2 juta pengikut.

Tanda pagar #gabbypetito di TikTok mencecah 1.2 bilion. Semuanya memaparkan pelbagai teori mengenai kematian Petito dan kehilangan Laundrie.

Misteri kematian Petito masih belum terjawab namun kes ini secara tidak langsung merungkai mengenai fenomena penggunaan media sosial dalam kalangan generasi hari ini.

Ia sekali gus pengesahsahihan bahawa tidak semua yang dipaparkan di media sosial itu benar.

Sedar atau tidak, ramai daripada kita sering 'berlumba-lumba' menunjukkan momen indah untuk tatapan umum. Namun, ramai yang malu untuk mengakui bahawa apa yang dipaparkan itu sebenarnya, mungkin jauh tersasar daripada realiti.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 6:15 AM