GABBY bersama tunangnya, Laundrie. FOTO Instagram
GABBY bersama tunangnya, Laundrie. FOTO Instagram
Agensi

Washington: Dua ganjaran berjumlah AS$30,000 (RM125,580) menanti mereka yang dapat memberikan maklumat mengenai Brian Laundrie, tunang kepada pempengaruh terkenal Amerika Syarikat, Gabby Petito.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih memburu lelaki berusia 23 tahun itu yang dinamakan sebagai suspek selepas dikaitkan dengan kematian Gabby, 22.

Sebuah firma undang-undang, Boohoff Law dalam kenyataan di laman web berkata, tawaran AS$20,000 (RM83,720) akan diberikan kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat keberadaan lelaki itu.

Katanya, ganjaran itu akan diberikan kepada individu terbabit selepas mendapat pengesahan bertulis bahawa pihak berkenaan membantu pencarian Laundrie.

Selain itu, ganjaran kedua ditawarkan jiran kepada keluarga Gabby, Jerry Torres yang mengumumkan perkara itu menerusi Twitter pada Rabu.

"Salam takziah kepada keluarga Gabby Petito.

"Kami menawarkan ganjaran AS$5,000 (RM20,929) (atas maklumat) yang membawa kepada penahanan (Laundrie)," katanya.

Pada Jumaat, Torres mengucapkan penghargaan kepada bekas Timbalan Ketua Polis Sarasota, Florida, Steve Moyer yang membantu menambah jumlah tawaran ganjarannya itu kepada AS$10,000 (RM41,858).

"Wang akan membuat orang 'bercakap'," kata Moyer kepada CNN.

Sementara itu, keluarga dan rakan terdekat Gabby memberikan penghormatan terakhir sempena majlis pengebumian wanita itu di Holbrook, Long Island.

Seminggu selepas mayat anaknya ditemui di hutan berhampiran Taman Negara Bridger-Teton, Wyoming, Joseph Petito menyifatkan Gabby sebagai gadis ceria yang disayangi semua orang.

Katanya, anak perempuannya itu membuatkan orang lain rasa dialu-alukan dan dia gemar membuat aktiviti luar seperti selam skuba, mendaki atau bermain salji di Colorado.

Gabby terkenal di media sosial selepas mendokumentasikan pengembaraannya bersama tunangnya, Laundrie dengan menaiki sebuah van yang diubah suai ke seluruh Amerika Syarikat.

Wanita berusia 22 tahun itu dilaporkan hilang pada 11 September lalu.

Ia selepas 10 hari Laundrie pulang dengan van mereka, tanpa Gabby ke rumah mereka di Florida, pada 1 September lalu.

Mayat wanita itu ditemukan lapan hari kemudian berhampiran tapak perkhemahan di Taman Negara Bridger-Teton, Wyoming.

Susulan kejadian, Laundrie kini tidak dapat dikesan selepas didakwa oleh keluarganya bahawa lelaki itu keluar ke satu kawasan hutan simpan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:40 AM