GABBY Petito (kiri) dan Brian Laundrie. FOTO Agensi
GABBY Petito (kiri) dan Brian Laundrie. FOTO Agensi
AFP

Washington: Polis menemukan mayat di kawasan hutan di Florida ketika mencari teman lelaki kepada wanita mangsa bunuh, Gabby Petito.

Ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Michael McPherson berkata, barang peribadi milik Brian Laundrie, yang disebut sebagai individu yang mempunyai kaitan dengan kematian Petito, ditemukan di Carlton Reserve dekat Venice, Florida.

AFP melaporkan, polis mencari Laundrie, 23, selama berminggu-minggu dan siaran langsung televisyen menunjukkan pasukan mencari dan menyelamat, serta anjing pengesan di hutan berkenaan.

"Penyiasat menemui mayat manusia bersama barangan peribadi seperti beg galas dan buku nota milik Brian Laundrie.

"Barang-barang ini dijumpai di kawasan yang sebelum ini dinaiki air. Pasukan forensik berada di tempat kejadian untuk menyiasat kawasan itu.

"Kemungkinan pasukan akan berada di tempat kejadian selama beberapa hari," katanya.

Petito terkenal di media sosial selepas mendokumentasikan pengembaraannya bersama tunangnya, Laundrie dengan menaiki sebuah van yang diubah suai ke seluruh Amerika Syarikat.

Wanita berusia 22 tahun itu dilaporkan hilang pada 11 September lalu.

Ia selepas 10 hari Laundrie pulang dengan van mereka, tanpa Gabby ke rumah mereka di Florida, pada 1 September lalu.

Mayat wanita itu ditemukan lapan hari kemudian berhampiran tapak perkhemahan di Taman Negara Bridger-Teton, Wyoming.

Susulan kejadian, Laundrie kini tidak dapat dikesan selepas didakwa oleh keluarganya bahawa lelaki itu keluar ke satu kawasan hutan simpan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 10:33 AM