DOME of the Rock yang sebelum ini sering disalah anggap sebagai Masjid al-Aqsa.
DOME of the Rock yang sebelum ini sering disalah anggap sebagai Masjid al-Aqsa.
MASJID al-Aqsa dibanjiri umat Islam terutama pada hari Jumaat dan bulan Ramadan.
MASJID al-Aqsa dibanjiri umat Islam terutama pada hari Jumaat dan bulan Ramadan.
JERICHO bandar tertua di dunia yang sudah berusia 10,000 tahun.
JERICHO bandar tertua di dunia yang sudah berusia 10,000 tahun.
KUBUR mantan Presiden Palestin, Allahyarham Yasser Arafat di Ramallah.
KUBUR mantan Presiden Palestin, Allahyarham Yasser Arafat di Ramallah.
PERMANDANGAN Dome of the Rock dan Masjid al-Aqsa dari Bukit Zaitun yang turut menjadi kawasan perkuburan kaum Yahudi.
PERMANDANGAN Dome of the Rock dan Masjid al-Aqsa dari Bukit Zaitun yang turut menjadi kawasan perkuburan kaum Yahudi.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Amman, Jordan yang mengambil masa 12 jam, diikuti sejam perjalanan darat ke sempadan Raja Hussein-Allenby (dikuasai Israel) untuk pemeriksaan imigresen Israel yang mengambil masa lebih tiga jam, seperti tidak terasa sebaik kaki menjejaki Baitulmaqdis, Palestin lokasi terletaknya Masjid al-Aqsa, tempat ibadat ketiga suci bagi umat Islam.

Sebelum perjalanan bermula, penulis berasa gembira mendapat tugasan mengikuti penggambaran dokumentari khas penyanyi terkenal tanah air iaitu Mawi yang bertajuk ‘Kembara di Bumi Mikraj bersama Mawi’ yang diadakan di Palestin.

Namun, perasaan bimbang turut ada mengenai bahaya serta keadaan bergolak di negara itu yang ditindas dan dizalimi rejim Zionis Israel yang banyak terbaca di media sosial.

Kami bernasib baik apabila rombongan dari Malaysia seramai 50 orang membabitkan 12 kru produksi Mawi World Entertainment Sdn Bhd termasuk Mawi dan wakil Harian Metro bersama peserta rombongan Intifada Travel & Tours, tidak mengalami sebarang masalah atau halangan besar untuk memasuki Palestin.

Keadaan di Baitulmaqdis atau dikenali juga sebagai Jerusalem, ternyata aman dengan suhu pada waktu malam mencecah 10 darjah Celsius manakala siang hampir 40 darjah Celsius, ia dipenuhi ramai pelancong dari pelbagai negara yang memenuhi beberapa hotel di sekitar Kompleks Masjid al-Aqsa.

Ramai daripada kami menggambarkan keadaan di sini dipenuhi tentera Israel yang lengkap bersenjata yang bertempur dengan penduduk Palestin, namun mujur ia tidak berlaku sepanjang kami berada di bumi suci ini.

Tidak dinafikan memang berlaku penindasan dan kekejaman rejim Zionis, tetapi ia lebih tertumpu di Gaza dan bukannya di Baitulmaqdis yang menjadi tempat suci bagi empat agama iaitu Islam, Kristian, Yahudi dan Armenia yang memang menjadi tumpuan pelancong dari pelbagai negara.

Antara pelancong yang sempat penulis temui adalah rombongan dari Indonesia, Kanada, Turki dan beberapa negara lain yang kebanyakannya bertujuan mengunjungi tempat beribadat dan bersejarah mengikut kepercayaan agama masing-masing.

“Kamu adalah Mujahidin (pejuang Islam) kerana sanggup menempuh perjalanan lebih 9,000 kilometer bagi menjejakkan kaki ke bumi Palestin, sekali gus menunjuk dan memberikan sokongan terhadap kami agar kami tidak bersendirian menentang Zionis,” kata Hi­syam Kamil, penduduk Islam Palestin yang juga adalah pemandu pelancong kami.

Mendengar kata-kata Hisyam membuatkan perasaan takut yang masih berbaki dalam diri terus lenyap. Bertambah menyenangkan hati dan sedikit terkejut, apabila beberapa penduduk tempatan seperti peniaga dan kanak-kanak turut boleh bertutur sepatah dua bahasa Melayu seperti ‘apa khabar’ dan ‘terima kasih’.

Lokasi pertama yang kami kunjungi selepas melepasi pemeriksaan imigresen ialah Jericho, iaitu bandar tertua dunia yang dipercayai berusia 10,000 tahun serta lokasi terletaknya masjid dan makam Nabi Musa.

Bila bercakap mengenai makam, pasti ramai yang beranggapan ia adalah kubur, namun di sini ia membawa dua maksud iaitu kuburan dan juga tempat yang dipercayai pernah menjadi kediaman nabi, sebelum ia didirikan binaan untuk tujuan memperingatinya.

Selesai menziarah masjid dan makam Nabi Musa, barulah kami bertolak ke Baitulmaqdis untuk mendaftar di Capitol Hotel Al-Quds yang terletak kira-kira 500 meter dari Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitarnya dipenuhi dengan pelbagai premis perniagaan yang dikendalikan umat Islam Palestin yang menggunakan mata wang Shekel, Israel dan Dollar Amerika.

Peluang beribadat di Masjid al-Aqsa tidak dilepaskan dan rombongan kami bergerak ke masjid berkenaan untuk mengerjakan solat Maghrib dan Isyak sebelum bergerak ke lokasi sama seawal jam 3 pagi untuk menunaikan solat Subuh kerana waktu Subuh di sini awal.

Perjalanan kira-kira 20 minit untuk mengerjakan solat Subuh di masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu juga memberi pengalaman baru kepada penulis apabila melihat lebih 5,000 penduduk setempat dan juga pelancong berpusu-pusu memasuki kawasan masjid untuk bersolat.

Di siang hari, kami dibawa melawat sekitar Kompleks Masjid al-Aqsa yang turut menempatkan Masjid Kubah atau ‘Dome of the Rock’, Masjid Buraq iaitu tempat Rasulullah menambat buraq ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Masjid al-Aqsa Lama yang terletak di bahagian bawah tanah, sebelum kami menunaikan solat Jumaat bersama ratusan ribu umat Islam di dalam Masjid Al-Marwan yang berusia 1,600 tahun dan terletak di atas Masjid al-Aqsa Lama.

Hari seterusnya, kami dibawa melawat ke Kota Lama Baitulmaqdis yang dibina oleh Sultan Sulaiman Al-Qamani ketika zaman pemerintahan Othmaniah, selain melihat sendiri beberapa tempat bersejarah yang menurut kepercayaan agama lain adalah tempat suci mereka seperti Tembok Ratapan atau ‘Wailing Wall’ kaum Yahudi dan Gereja Sepulchre bagi Kristian.

Selama beberapa hari berada di sini, selain Baitulmaqdis kami turut berpeluang ke Ramallah iaitu ibu negara Palestin yang menempatkan pusat kerajaan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan juga kubur mantan Presidennya, Yasser Arafat yang meninggal dunia pada 11 November 2004 dipercayai akibat diracun oleh pihak agensi perisikan Israel iaitu Mossad.

Kemudian kami ke Hebron, lokasi Masjid Nabi Ibrahim di mana di dalamnya mengandungi makam Nabi Ibrahim bersama isteri Sarah; makam Nabi Ishak dan isterinya Laiqah serta makam Nabi Yaakob bersama isterinya Rifqah.

Lebih unik, masjid ini dikuasai secara bersama oleh Palestin dan Israel dengan sempadannya adalah bahagian tengah makam Nabi Ibrahim. Jika ada perayaan mengikut agama Yahudi umat Islam tidak dibenarkan menggunakan masjid berkenaan dan begitu juga sebaliknya.

Selepas berkunjung dan solat di Masjid Ibrahim kami pergi pula ke Masjid dan Makam Nabi Yunus yang terletak hanya beberapa kilometer, sebelum ke Baitul­laham yang turut mempunyai beberapa lokasi sejarah Islam dan agama lain.

Bagi melihat sendiri kekejaman dan penindasan rejim Zionis Israel yang merampas tanah milik rakyat Palestin, penulis turut berpeluang melihat sendiri tembok konkrit sepanjang lebih 900 kilometer dengan ketinggian lapan meter yang dibina di bawah pimpinan mendiang Ariel Sharon bagi memisahkan antara wilayah Yahudi dan Palestin.

Rakyat Palestin yang ingin menetap di kawasan yang dikuasai Zionis termasuk Baitulmaqdis, turut di beri pilihan sama ada memohon kad pengenalan Israel atau Jordan dan jika enggan berbuat demikian mereka tidak akan dibenarkan tinggal atau masuk ke kawasan berkenaan dan keadaan itu menyebabkan ramai yang kini terpaksa memiliki kad pengenalan Israel.

Penulis turut ke beberapa daerah yang dikuasai Israel iaitu Nazareth, Tiberias, Haifa dan Tel Aviv yang jelas lebih maju dan teratur berbanding kawasan Palestin yang dikekang pembangunannya selepas semua pintu masuk atau sempadan dikuasai oleh rejim Zionis.

Bagaimanapun, di Tel Aviv yang juga ibu negara Israel masih ada kawasan yang didiami penduduk Islam Palestin iaitu di Bandar Jaffa (Yaffa) yang satu ketika dulu adalah bandar dan pelabuhan yang maju bagi Palestin.

Kunjungan penulis ke Palestin bermula 3 hingga 10 Jun lalu, selain mengikuti penggambaran dokumentari khas yang diterbitkan Mawi dan dijangka disiarkan di Astro apabila siap proses penyuntingannya kelak, juga adalah bagi membuktikan negara ini boleh dan selamat dikunjungi umat Islam untuk memberi sokongan kepada rakyat Palestin yang hingga kini masih teguh berjuang mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:05 AM