PEMIKIRAN baharu amat diperlukan, sesuai dengan perubahan semasa yang berlaku hari ini kerana kita sudah terlalu lama menekankan aspek peperiksaan.
PEMIKIRAN baharu amat diperlukan, sesuai dengan perubahan semasa yang berlaku hari ini kerana kita sudah terlalu lama menekankan aspek peperiksaan.
BERNAMA

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan akibat pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu, sektor pendidikan antara paling terkesan dan isu berkaitannya belum reda hingga hari ini.

Ancaman Covid-19 menyebabkan beberapa keputusan penting diambil Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk membatalkan dua peperiksaan utama tahun lalu iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun enam dan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu (UPSR dan PT3) pernah dibangkitkan sebelum kedatangan pandemik lagi, namun mendapat pelbagai halangan termasuk bantahan daripada ibu bapa.

Covid-19 juga menyebabkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 yang sepatutnya diduduki pada hujung tahun lalu ditangguhkan ke awal tahun ini.

Hampir 500,000 calon SPM, SPVM, STAM dan 47,008 calon STPM dijangka menduduki peperiksaan penting itu bermula Februari dan Mac ini.

Dengan apa yang berlaku sekarang, ada yang beranggapan sektor pendidikan paling teruk terjejas akibat Covid-19.

Mungkin kesan pandemik ini boleh menjadi titik awal perubahan dalam penilaian pelajar di peringkat sekolah rendah hingga menengah yang sebelum ini memfokuskan kepada peperiksaan sebagai cara utama menilai keupayaan pelajar.

Cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik terutamanya supaya sistem pendidikan kita tidak lagi melihat kepada sistem peperiksaan sebaliknya meneroka bakat dan keperluan mandiri pelajar perlu diberikan pertimbangan serius.

Walaupun masih menjadi perdebatan untuk mengadaptasikannya dalam sistem pendidikan, jalan ke arah itu perlu dibuka seluas-luasnya. Demikian pandangan pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad.

Katanya, sistem penilaian boleh dilakukan dalam bentuk lain antaranya penilaian secara berterusan.

"Penilaian yang baik dan berkualiti mungkin boleh dilaksanakan dalam bentuk yang lain. Lembaga Peperiksaan perlu lebih terbuka dalam meneroka perkara ini. Pemikiran baharu amat diperlukan, sesuai dengan perubahan semasa yang berlaku hari ini kerana kita sudah terlalu lama menekankan aspek peperiksaan secara tradisional," katanya.

Katanya, pandemik ini memberi pengajaran bahawa kita tidak boleh lagi menunggu dalam bentuk peperiksaan yang sebenarnya sudah ketinggalan dari segi pengalaman.

"Kita perlu bergerak pada bentuk penilaian yang lebih baik, lebih baharu yang lebih sesuai dengan masa dan suasana ketika ini serta masa hadapan. Melalui sistem peperiksaan yang ada sekarang mungkin pelajar boleh mendapat A, B atau C, tetapi sejauh mana subjek yang pelajar itu tahu dan dikuasai dalam konteks amalannya dan keupayaannya untuk melakukan kreativiti," katanya

Sebagai contoh, terdapat pelajar yang boleh menghafal dan memperoleh A dalam subjek tertentu, tetapi adakah pelajar itu mampu memberi hujah atau kreativiti mahupun berfikir
di luar daripada apa yang dihafalnya?

"Oleh itu, bagaimana untuk membina satu kumpulan pelajar yang inovasi, kreatif kalau masih mengamalkan sistem peperiksaan yang ada seperti sekarang. Sistem penilaian ini mesti diangkat dalam bentuk baharu jika kita hendak melahirkan generasi kreatif dan inovatif," tegasnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, sudah tiba masanya sistem penilaian berasaskan peperiksaan dirombak dengan memperbetulkan arah tuju penilaian secara menyeluruh.

"Situasi semasa pendidikan Malaysia memang terlalu berorientasi peperiksaan khususnya kebergantungan kepada peperiksaan dan penekanan pencapaian akademik," katanya.

Penilaian pelajar perlu dalam pelbagai aspek ke arah pemikiran aras tinggi yang mencakupi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosialisasi.

Dr Mohamad Ali berkata, unsur-unsur pemikiran kreatif, saintifik dan aras tinggi ini perlu dipasak seawal mungkin di peringkat prasekolah melalui kaedah yang lebih menarik termasuk menerusi permainan.

Apabila disemai di peringkat awal, pendidikan yang diterima dan dipelajari itu menjadi satu keseronokan, tidak jumud dan mampan sepanjang masa.

Beliau mencadangkan beberapa langkah antaranya melaksanakan Penilaian Berterusan Sekolah (PBS) dan tidak 100 peratus pada peperiksaan akhir tahun.

"PBS yang diamalkan mungkin bagi sistem penggal persekolahan dengan pengambilan markah 33:33:34 (tiga penggal) atau bagi sistem semester 50:50/60:40 (dua semester). Teori dan amali atau tugasan juga dipastikan (diseimbangkan) bagi setiap mata pelajaran," katanya, sambil menambah kaedah ini juga perlu diterapkan dalam peperiksaan utama seperti SPM dan STPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 8:01 AM