GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Kangsar: Kerajaan Perak akan meneruskan Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) bagi membantu pelajar golongan B40 menduduki peperiksaan awam pada Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata program berkenaan turut membabitkan pemberian makanan tengah hari percuma kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) itu.

"Program ini diberikan kepada pelajar tahun 2020 yang akan menghadapi peperiksaan awam tahun depan. Kerajaan negeri meneruskan program itu bagi membolehkan pelajar mengikuti pelajaran pada sebelah pagi dan meneruskan tuisyen pada sebelah petang supaya mereka dapat menyelesaikan silibus mata pelajaran masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) 2021 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 di sini, hari ini.

Pada Februari lepas, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad melancarkan TCS yang memberikan manfaat kepada hampir 200,000 pelajar di seluruh Perak khususnya daripada keluarga B40.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Saidi berkata persiapan pembukaan sekolah di negeri ini Isnin depan berjalan lancar namun jumlah murid dan pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan belum diperoleh.

Beliau berkata semua sekolah sedang bersiap sedia memastikan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka dipatuhi bagi memastikan institusi berkenaan bebas daripada penularan Covid-19.

Katanya jumlah kehadiran murid dihadkan bagi setiap kelas dan kaedah penggiliran dilaksanakan dengan separuh daripadanya dikehendaki belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya semua sekolah juga tidak dibenarkan menggunakan langsir dan tingkap bilik darjah juga akan dibuka untuk memastikan pengaliran udara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 5:26 PM