KBAT antara usaha untuk mengoptimumkan keupayaan pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran selain membantu mereka lebih bersedia menjawab soalan peperiksaan yang semakin mencabar. - Gambar hiasans
KBAT antara usaha untuk mengoptimumkan keupayaan pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran selain membantu mereka lebih bersedia menjawab soalan peperiksaan yang semakin mencabar. - Gambar hiasans
SISTEM pendidikan negara sentiasa diperbaharui bagi melonjakkannya ke tahap lebih berdaya saing.- Gambar hiasan
SISTEM pendidikan negara sentiasa diperbaharui bagi melonjakkannya ke tahap lebih berdaya saing.- Gambar hiasan
PELAJAR cemerlang menjadi kebanggaan negara.
PELAJAR cemerlang menjadi kebanggaan negara.
PEPERIKSAAN SPM dan STPM setara dengan pengukuran standard digunakan di negara lain. - Gambar hiasan
PEPERIKSAAN SPM dan STPM setara dengan pengukuran standard digunakan di negara lain. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali


Keputusan dua peperiksaan utama yang diumumkan selang sehari, minggu lalu, boleh dijadikan penanda aras bagi mengukur pencapaian pelajar dalam sistem pendidikan negara yang berorentasikan akademik dan peperiksaan.

Meskipun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan sedikit penurunan berdasarkan Indeks Gred Purata Nasional (GPN) iaitu sebanyak 0.07 peratus manakala peningkatan bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), keupayaan pelajar menguasai kecemerlangan dalam dua peperiksaan itu masih tinggi.

Biarpun masih sukar menangkis persepsi negatif segelintir pihak terhadap sistem sedia ada, penambahbaikan dari semasa ke semasa membuktikan komitmen kerajaan mentransformasi sistem ke arah lebih berdaya saing.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Prof Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, walaupun secara dasarnya peperiksaan utama seperti SPM, STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak boleh dijadikan kayu ukur pencapaian pelajar, ia masih boleh dijadikan penanda aras untuk menilai sistem sedia ada.

Menurutnya, peperiksaan utama seperti SPM dan STPM setara dengan standard digunakan di luar negara me­ngikut instrumen ditetapkan di negara berkenaan.

“Dengan kata lain, SPM dan STPM pengukur yang diguna pakai di negara ini untuk menilai sejauh mana keupayaan pelajar menguasai proses pembelajaran dan pengajaran sepanjang tempoh persekolahan.

“Meskipun pada masa sama kita tidak menolak kepentingan PT3 dan UPSR, namun SPM dan STPM menjadi instrumen penting untuk melayakkan seseorang melangkah lebih jauh.

“Pencapaian SPM dan STPM boleh dijadikan pe­ngukur untuk menilai sejauh mana keberkesanan sistem pendidikan sedia ada yang diterjemahkan dalam konteks akademik dan peperiksaan,” katanya.

Seramai 9,721 calon SPM tahun lalu memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran manakala STPM menunjukkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) meningkat kepada 2.65 daripada 2.62 pada 2014.

Dr Mohd Sahandri berkata, meskipun sistem pendidikan sedia ada sudah melalui transformasi dengan mengoptimumkan keupayaan pelajar menerusi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), sistem peperiksaan berorentasikan peperiksaan masih perlu dilaksanakan untuk menilai kemampuan pelajar dalam semua aspek.

“KBAT menilai sejauh mana pelajar mampu berfikir dan mengimplementasikannya dalam bentuk keupayaan berfikir.

“Peperiksaan pula menilai sejauh mana kefahaman pelajar dalam subjek pembelajaran (learning subjek).

“Gabungan kedua-duanya menjadi mekanisme penting untuk menilai secara keseluruhan keupayaan pelajar menguasai kemahiran berfikir, kefahaman dan sebagainya bagi mencapai standard ditetapkan dalam sistem pendidikan negara,” katanya yang turut menekankan kepentingan kaedah pengajaran guru dan cara pelajar belajar.

Katanya, SPM dan STPM antara platform yang dijadikan pengukur kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

“Di mana-mana saja, SPM dan STPM diterima sebagai syarat kelayakan asas untuk melanjutkan pengajian.

“Ia tidak jauh berbeza dengan negara lain yang turut menetapkan syarat standard untuk pelajar melanjutkan pengajian.

“Jadi jangan ambil mudah mengenai kepentingan kedua-dua sistem peperiksaan ini,” katanya.

Mengenai pencapaian pelajar dalam SPM dan STPM tahun lalu, Dr Mohd Sahandri berkata, setiap calon berdepan cabaran sukar kerana ia menggabungkan peperiksaan berfikir aras tinggi dan kreatif.

“Kaedah peperiksaan seperti ini sangat mencabar. Tidak hairan jika keputusan merosot sedikit kerana berlaku fluctuation (naik turun) prestasi pelajar.

“Tetapi pada masa sama, faktor lain juga perlu diambil kira seperti jumlah calon, format soalan dan sebagainya. Turun naik pencapaian adalah normal dan bukan kelemahan ketara dan signifikasi,” katanya.

Beliau berkata, bagi pelajar yang tidak memperoleh keputusan cemerlang, mereka masih ada banyak peluang untuk menyambung pelajaran.

“Dalam konteks pendidikan negara, pembelajaran adalah untuk sepanjang hayat. Pelbagai peluang diberikan kepada sesiapa saja.

“Bagi yang tidak memperoleh keputusan cemerlang, mereka boleh membuat pilihan sama ada melanjutkan pengajian di institusi swasta atau teknikal, program prasijil atau bekerja dan menyambung pengajian selepas itu.

“Apa yang penting, buat perancangan yang memanfaatkan dan jangan buang masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 12:19 PM