JASNI. FOTO Roselan Ab Malek
JASNI. FOTO Roselan Ab Malek
Hamzah Osman

KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyokong langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) apabila membatal dan menunda tarikh peperiksaan awam di negara ini.

Malah, mereka juga dilihat tidak terburu-buru menetapkan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan kerana berterusan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, keputusan itu membuktikan kementerian itu amat mengambil berat terhadap faktor keselamatan dan kebajikan pelajar serta warga pendidik di seluruh negara.

“Langkah itu diyakini berjaya kerana sistem pendidikan negara berada dalam kawalan dan boleh diolah mengikut keperluan semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau diminta mengulas pembatalan peperiksaan awam dan penetapan sesi persekolahan baru oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin pada sidang medianya, hari ini.

Jasni berkata, KGMMB juga mengalu-alukan langkah menteri dan pegawai tertinggi KPM mendapatkan pandangan kesatuan serta persatuan guru berkaitan pendidikan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami turut menyokong langkah KPM memperkasakan pembelajaran maya dan pendekatan itu perlu disambut dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar serta guru.

“Pada masa sama, guru perlu mengelak mengedarkan bahan pembelajaran dalam bentuk cetakan bagi tujuan memutuskan rangkaian dan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Terdahulu, Mohd Radzi mengumumkan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) akan ditunda kepada suku pertama tahun depan.

Bagi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), tarikh peperiksaan Semester Dua diubah kepada Ogos ini, manakala peperiksaan Semester Tiga akan diadakan dalam suku pertama 2021.

Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga akan diadakan dalam suku pertama 2021.

Manakala, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi 2020 dibatalkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 9:41 PM