KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan  ujian saringan kepada pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid susulan penularan wabak COVID-19. FOTO AMRAN HAMID
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan kepada pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid susulan penularan wabak COVID-19. FOTO AMRAN HAMID
Hayati Ibrahim

Alamak tingginya kes hari ini, Allah risaunya aku."

Itu reaksi rakan penulis ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan jumlah kes positif Covid-19 meningkat kepada 100 kes pada 11 September lalu.

Angka tiga digit itu pertama kali direkodkan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan 10 Jun lalu.

Sebelum itu, pandemik Covid-19 berjaya dikawal dengan baik walaupun beberapa kluster baharu dikesan. Semuanya berpunca daripada kes import yang mana warga negara asing kembali ke negara ini terutama untuk bekerja.

Tiga hari selepas itu, rakyat sekali lagi dikejutkan dengan jumlah kes yang melonjak kepada 182 kes. Penulis rasa ramai yang 'terlompat' apabila melihat kes kembali tinggi, sekali gus menambah kegusaran dan kebimbangan rakyat.

Walaupun majoriti kes membabitkan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan
di lokap, tetapi masyarakat tetap tidak senang duduk.

Sehingga 13 September, terdapat 11 kluster baharu yang masih aktif, termasuk terbaru Kluster Laut yang mula dikesan dalam kalangan Pati di Kunak, Sabah.

Kluster Benteng LD di Sabah mencatatkan kes tertinggi iaitu 397 ke dengan 227 kes membabitkan bukan warga negara.

Kluster ini bermula dengan penahanan dua lelaki warga Filipina pada 1 September lalu yang kemudiannya dimasukkan , masing-masing ke lokap di Lahad Datu dan Tawau.

Sehingga kini, ia sudah menjangkiti generasi ketiga termasuk tahanan, kakitangan penjara dan ahli keluarga mereka.

Berdasarkan data KKM jumlah kes meningkat sekali ganda iaitu 1,579 kes dalam tempoh 14 Ogos hingga 13 September berbanding 793 kes bagi tempoh 14 Julai hingga 13 Ogos.

Angka ini juga menunjukkan nilai Rt atau R naught (Ro) meningkat kepada 1.72, berbanding 0.72 sebelum ini. Secara keseluruhan sebanyak 9,915 kes Covid-19 direkodkan sejak pandemik ini mula dikesan di Malaysia, Januari lalu dengan 128 kematian dicatatkan.

Peningkatan ketara ini memberi gambaran situasi risiko berlakunya lebih banyak transmisi di dalam komuniti. Jika dilihat daripada senario terkini, kes Covid-19 dalam kalangan Pati meningkat dengan mendadak kerana tindakan berani mereka menyusup masuk ke dalam negara melalui lorong tikus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham sendiri turut meminta kerjasama semua pihak supaya melaporkan sebarang aktiviti kemasukan dan pencerobohan Pati kepada pihak berkuasa.

Beliau sendiri mahu kawalan sempadan antarabangsa negara diperketatkan termasuk laluan tikus. Apa yang menjadi persoalan di mana agaknya lompong yang perlu dibaiki untuk memastikan Pati ini tidak mudah lolos masuk dalam negara?

Walaupun penguatkuasaan diperketatkan menerusi Operasi Benteng namun mereka tetap berjaya meloloskan diri dan ini perlu diambil perhatian lanjut.

Mungkin ini yang perlu diambil perhatian lanjut oleh pihak berkuasa mengenai ruang-ruang yang boleh diperbaiki untuk mengatasi kelemahan ini.

Selain pihak berkuasa, rakyat juga perlu memainkan peranan penting menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan ini.

Jangan tutup mata atau telinga jika 'terdengar' atau 'ternampak' bot tidak dikenali mendarat
di perairan negara.

Kita tidak tahu mereka yang mendarat itu mungkin akan membawa bala lebih besar kepada negara sedangkan selama ini kerajaan bertungkus-lumus berusaha mengurangkan kes Covid-19.

Jangan sesekali mempersia-siakan pengorbanan semua pihak yang terbabit dalam mengekang penularan pandemik ini hanya disebabkan sikap tidak ambil kisah.

Jangan pula menjadi pengkhianat negara dengan menjadi tali barut Pati kerana kesannya akan dirasai semua rakyat. Covid-19 bukan penyakit biasa-biasa jika tidak penularannya tidak dikekang sebaiknya tidak mustahil jumlah kes akan melonjak lebih tinggi.

Penulis pasti, ramai yang tidak mahu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula kerana kesannya amat pahit untuk ditelan.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 7:00 AM