Syah Rul Aswari Abdullah


Bagi peminat drama Korea Selatan, pasti ramai yang sudah menyaksikan Crash Landing on You (CLOY). Populariti drama bersiri ini sehingga trending media sosial menjadikannya drama ketiga paling tinggi daripada segi jumlah tontonan di negara berkenaan.

Ringkasnya plot drama ini berkisar mengenai waris keluarga kaya dari Korea Selatan yang secara tidak sengaja memasuki Korea Utara. Kemudian si heroin bertemu dengan hero kacak, tentera elit Korea Utara. Ia mencetuskan pelbagai konflik apabila tentera ini berusaha menghantar kembali wanita itu kembali ke negara asal.

Mereka yang belum menonton drama ini sudah pasti dapat mengagak apa yang berlaku seterusnya. Tentera dan wanita itu jatuh cinta, tetapi tidak dapat meneruskan hubungan kerana kedua-dua negara secara teknikalnya masih berperang.

Dalam sejarah dunia, pihak atau negara yang berperang akan menandatangani perjanjian damai. Namun, ini masih tidak berlaku selepas 70 tahun sejak Perang Korea kali pertama meletus. Sebaliknya, perang ini hanya 'tamat' menerusi gencatan senjata antara kedua-dua negara.

Namun, penulis tidak mahu mengulas sejarah Perang Korea. Bukan juga mengenai populariti drama ini sehingga mencetuskan fenomena.

Sebaliknya, lebih tertarik dengan paparan mengenai Korea Utara di dalam drama berkenaan yang amat jarang dipaparkan menerusi media. Sehingga kini, tidak banyak sumber di internet bagi mengetahui kehidupan sebenar rakyat negara itu.

Dikatakan 60 peratus babak dalam CLOY menyerupai kehidupan sebenar penduduk Korea Utara. Justeru, ia memberi gambaran cara hidup masyarakat yang disekat daripada pelbagai cara oleh dunia kerana ancaman pembangunan senjata nuklearnya.

Sebagai contoh, dalam satu babak, ketika si hero (dilakonkan oleh Hyun Bin) mengajar heroin (dilakonkan oleh Son Ye-jin) yang mahu mandi air panas. Tentera ini menyuruh wanita itu memasang plastik di sekeliling tab mandi yang berisi air panas.

Ini adalah realiti masyarakat di Korea Utara. Akhbar Straits Times Singapura dalam satu artikel yang membincangkan hal ini menemu bual seorang defector dari Korea Utara, Noel Kim yang kini menetap di Korea Selatan berkata, ia serupa dengan apa yang dilakukan ketika mandi pada musim sejuk di negara asalnya.

Seorang lagi defector dari Korea Utara yang kini menjadi antara YouTuber popular di Korea Selatan, Kang Na ketika dalam satu temu bual di YouTube berkata, babak menunjukkan keadaan dalam rumah keluarga elit di Korea Utara juga hampir tepat. Menurutnya, kebanyakan daripada keluarga kaya ini gemar menonjolkan cita rasa mewah dengan menghias tingkap rumah dengan langsir lace.

Kang yang melarikan diri dari negara asal pada 2015 berkata, babak lain termasuk bagaimana penduduk di luar bandar terpaksa menyimpan kimchi dalam bunker khas (lubang yang digali di kawasan halaman rumah). Katanya, ini memandangkan bekalan elektrik yang terhad.

Masalah gangguan elektrik ini juga dilihat menerusi babak apabila kereta api yang dalam perjalanan ke Pyongyang terpaksa mengambil masa panjang. Ia menyebabkan penumpang terpaksa bermalam di padang di tepi landasan kereta api sementara menunggu gangguan bekalan elektrik pulih.

Babak lain yang dikatakan menggambarkan kehidupan sebenar di Korea Utara termasuk pemeriksaan dari rumah ke rumah. Bagaimapun, untuk menjadikan drama ini lebih menarik, babak ini diselit dengan elemen komedi apabila penduduk berusaha menyorokkan peralatan elektrik yang diseludup masuk dari Korea Selatan.

Perkara paling menarik yang tidak pernah diketahui penulis adalah wanita di negara itu mempunyai pilihan gaya rambut yang standard. Menurut Kang, ada 18 pilihan gaya rambut untuk wanita manakala pilihan lelaki lebih banyak iaitu 28 gaya rambut lain.

Gaya rambut lurus dan sedikit ikal dan berombak di hujung yang menjadi trend wanita seluruh dunia tidak dianggap in trend di Korea Selatan. Malah, seperti dikatakan oleh si hero,
di Korea Utara, gaya sebegitu boleh membuatkan seseorang wanita dianggap tidak siuman.

Bagaimanapun, kebanyakan defector memberitahu media bahawa sesiapa yang melanggar peraturan ini akan dikenakan hukuman. Malah, setiap rakyat Korea Utara juga perlu juga perlu mematuhi etika pemakaian tertentu yang ditetapkan pihak berkuasa.

Rahsia di sebalik paparan yang hampir tepat mengenai kehidupan Korea Utara di dalam CLOY terletak pada pasukan kreatif yang menjalankan kajian terperinci. Mereka menemu bual defector dari Korea Utara. Defector adalah rakyat negara itu yang melarikan diri ke negara luar terutama Korea Selatan untuk menikmati masa depan yang lebih cerah.

Justeru, tidak hairanlah Kerajaan Korea Utara kini mula menyuarakan kebimbangan terhadap gambaran cara hidup masyarakat negara itu dalam filem dan drama popular yang dikatakan merendah-rendahkan mereka. BBC pada Mac lalu melaporkan media negara itu menuduh tindakan itu satu penghinaan.

Namun, di sebaliknya, ia memberikan idea kepada banyak pihak mengenai apa sebenarnya yang berlaku di negara yang tertutup dari pandangan dunia ini. Tidak semua yang sedih dan suram itu di Korea Utara, masih ada pelbagai 'warna' dalam kisah hidup rakyatnya.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 12:27 PM