Kim Jong-un
Kim Jong-un
Agensi

Pyongyang: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menyifatkan kumpulan K-pop sebagai 'kanser' yang semakin merebak dan mengganas dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia merosakkan golongan muda di Korea Utara dan mengenakan hukuman berat terhadap rakyatnya yang melanggan filem Korea Selatan, K-Drama atau video K-Pop.

The New York Times mendedahkan kempen anti K-Pop itu yang terkandung dalam sebuah dokumen rahsia dalaman yang bocor dari republik itu.

Berita itu pertama kali dilaporkan oleh Daily NK yang berpusat di Seoul.

Media negara itu turut membantah penyebaran pengaruh 'anti-sosialis' yang dilaporkan ingin mengubah 'pakaian, gaya rambut, ucapan dan tingkah laku' golongan muda di Korea Utara.

Jong-un juga memerintahkan pihak berkuasa menghentikan tindakan anti-sosialis itu dengan serta merta dan mengenakan hukuman berat bagi sebarang kesalahan berkaitan.

Disember lalu, beliau memperkenalkan undang-undang baharu mengenakan hukuman lebih keras kepada individu yang menonton atau memiliki bahan hiburan dari Korea Selatan.

Undang-undang yang menetapkan hukuman penjara lima tahun sebelum ini dinaikkan menjadi 15 tahun bekerja di kem buruh.

Sebelum ini, Jong Un dilaporkan melarang pemakaian jean ketat untuk mempertahankan rejimnya.

Rodong Sinmun melaporkna, ia dibuat selepas dia khuatir pengaruh budaya barat akan mendorong generasi muda melawannya.

Pyongyang mendakwa jean ketat, koyak dan 'gaya rambut mewah' dianggap sebagai gaya hidup kapitalis.

Jong Un juga dikatakan bimbang digulingkan dan mengarahkan mereka yang mengenakan pakaian pelik perlu dihantar ke kem buruh paksa.

Larangan itu disiarkan di media rasmi Parti Pekerja Korea itu yang menyatakan fesyen aneh akan meruntuhkan negara.

"Sejarah memberikan pengajaran penting bahawa negara akan menjadi rapuh walaupun ekonomi dan pertahanannya kuat kerana tidak menjaga fesyen sendiri," kata media itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:45 AM