Syarifah Dayana Syed Bakri


KETIKA zaman sekolah dahulu, saya pernah menyertai perlawanan bola jaring menentang pasukan guru pada sambutan Hari Guru.

Namun, dek hormatkan guru dan tak sampai hati melihat mereka kalah dengan tenaga muda, kami bermain ala kadar dan tidak mengeluarkan kemahiran masing-masing.

Sambutan Hari Guru juga adalah hari yang dinanti-nantikan anak murid kerana pada hari itulah kita dapat melihat sisi berbeza seorang pendidik.

Namun, tahun ini keadaan jauh berbeza dan sambutan Hari Guru mungkin tidak sama seperti sebelum ini.

Pandemik Covid-19 ternyata merubah segala amalan yang biasa kita lakukan saban tahun. Jika sebelum ini sesi pembelajaran dilakukan di dalam bilik darjah namun sejak bulan lalu kelas dalam talian menjadi pilihan.

Tugasan untuk anak murid juga diberikan melalui pelbagai aplikasi digital. Untungnya guru tak perlu pening kepala menanda buku yang bersusun bak menara. Untungnya murid, tak perlu didenda atau dibebel jika tidak menyempurnakan tugasan yang diberi.

Ia secara tidak langsung menyebabkan sentuhan keramat seorang guru itu semakin hilang.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kementerian sedang dalam fasa merangka prosedur operasi standard (SOP) pasca Covid-19 bagi sesi persekolahan negara apabila ia dibuka semula.

SOP berkenaan akan memberi penekanan terhadap perubahan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran kepada 5.4 juta pelajar seluruh negara.

"Jika dulu sebuah kelas boleh memuatkan sehingga 35 pelajar namun selepas ini jumlah itu akan dikurangkan kepada 16 hingga 17 orang bagi menjaga penjarakan sosial," katanya dalam program Soal Rakyat Wawancara Khas Bersama Menteri Kanan Pendidikan terbitan TV3.

AFP melaporkan Perancis juga mula melonggarkan sekatan dan membuka semula sekolah minggu ini walaupun mendapat tentangan beberapa pihak yang menganggap keputusan berkenaan dibuat terlalu awal.

Sekolah rendah dan pusat jagaan kanak-kanak turut dibuka dengan guru dan petugas perlu mengenakan pelitup muka sepanjang masa.

Malah, tempat duduk murid juga diasingkan bagi mengekang penyebaran virus.

Guru besar di Rennes, utara Perancis, Gregory Bouvier menyifatkan sesi baharu persekolahan itu sebagai 'tidak realistik.'

"Ia bukan sebahagian DNA sekolah ini untuk mengasingkan kanak-kanak dan menghalang mereka daripada berkongsi apa-apa," katanya.

Namun, memandangkan masih ada ibu bapa yang bimbangkan keadaan anak mereka jika ke sekolah, kerajaan Perancis memberi pilihan sama ada membenarkan anak-anak ke sekolah atau mengekalkan mereka di rumah.

Keadaan berbeza berlaku di wilayah Jilin, China di sana sekolah terpaksa ditutup semula minggu ini selepas dibuka beberapa minggu lalu.

Ini kerana terdapat satu kluster Covid-19 dikesan di pinggir bandar Shulan dan pihak berkuasa tidak mahu menanggung risiko gelombang kedua penularan virus berkenaan di bandar yang menempatkan empat juta penduduk itu.

Ibu bapa di Malaysia juga pasti ada perasaan bimbang yang sama. Jika tidak ke sekolah, anak akan ketinggalan dalam pelajaran. Jika ke sekolah, takut pula virus dibawa pulang.

Semua pihak sama ada pegawai di kementerian, guru dan ibu bapa pasti mahu yang terbaik untuk anak-anak ini.

Ilmu perlu terus disampaikan namun dalam masa sama kesihatan diri tetap diutamakan. Buat masa ini, semua pihak perlu berlapang dada dan menerima kebiasaan baharu dalam dunia pendidikan. Pilihan yang ada ketika ini adalah meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian.

Sesuailah dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu - bergurulah walau dengan apa juga medium penyampaian, itulah yang akan merencana generasi akan datang.

Jika satu ketika dahulu kita selalu mendengar perumpamaan - guru ibarat lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain, mungkin pasca Covid-19 ini, guru tidak lagi sekadar lilin, sebaliknya turut berfungsi sebagai cecair 'sanitizer' yang membantu membasmi kuman agar tidak membahayakan murid tersayang.

Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian.


Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 12:00 AM