LEBIH 85 peratus warga guru sudah mendapat suntikan vaksin dos pertama.
LEBIH 85 peratus warga guru sudah mendapat suntikan vaksin dos pertama.
Muhammad Saufi Hassan


Kurang tiga minggu lagi sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) beberapa bulan lalu.

Namun, wujud kebimbangan ketara dalam kalangan ibu bapa berhubung langkah itu susulan peningkatan kes harian Covid-19 yang kini berada pada tahap lebih 20,000 kes.

KPM menyatakan pembukaan itu memberi fokus kepada kawasan hijau atau risiko rendah namun ancaman virus Covid-19, termasuk varian Delta memberi tahap jangkitan yang tinggi.

Untuk itu, Kafe Ahad minggu ini menemu bual Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan bersama wartawan, Muhammad Saufi Hassan.


Melihat kepada kes harian yang sangat tinggi, apakah kewajaran pembukaan sesi persekolahan berkenaan?

Dalam hal ini, saya fikir pembukaan sekolah wajar ditangguhkan ke satu
tempoh yang sesuai.

Buat masa ini, angka jangkitan mencecah lebih 20,000 sehari, ditambah pula kemunculan pelbagai varian seperti varian Delta, Alpha, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan varian Lambda pada masa depan.

Varian serta angka kematian yang semakin meningkat antara 100 hingga 300 orang sehari.

Secara peribadi saya fikir tidak wajar sekolah dibuka pada masa ini sehinggalah angka itu turun ke jumlah munasabah walaupun kita faham ada lebih 85 peratus lebih guru yang sudah divaksin.


Ibu bapa turut melahirkan kebimbangan jika sesi persekolahan itu tetap dibuka, apakah langkah paling sesuai dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan murid serta pelajar?

Ya, ramai ibu bapa berasa bimbang jika pembukaan sekolah ini tetap diteruskan dalam keadaan tiada perancangan yang jelas daripada KPM bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan anak mereka terjamin terutama aspek pematuhan SOP.

Langkah sesuai ialah KPM perlu mengetatkan pematuhan SOP dan menambah baik SOP sedia ada.

Semua pihak khususnya barisan pentadbiran sekolah, guru, pelajar dan ibu bapa perlu bekerjasama mematuhi SOP yang ditetapkan.


Dalam aspek pematuhan SOP, kita faham bahawa murid tahap dua dan pelajar sekolah menengah sudah cukup faham berhubung isu pandemik ini namun bagaimana pula dengan pelajar tahap satu?

Ini juga satu cabaran perlu ditangani. Kita sedia maklum murid tahap satu perlukan sokongan dan bimbingan ibu bapa dan guru dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

Jika tidak, anak-anak itu akan terdedah kepada jangkitan virus. Murid di tahap satu lebih suka kepada aktiviti secara berkumpulan, main bersama dan sebagainya.

Jika sekolah dibuka nanti sudah tentu kawalan dan pemantauan SOP kepada mereka perlu diberi tumpuan yang lebih.

Contohnya, SOP kehadiran ke sekolah, SOP ketika waktu penyuraian, ketika di dalam kelas, ketika di kantin dan sebagainya.

Walaupun KPM sudah ada SOP berhubung perkara di atas, namun ia perlu dimantapkan lagi terutama keadaan bilangan murid sekolah yang berbeza-beza.


Bagaimanakah, pihak tuan melihat langkah pembukaan sekolah pada September depan?

Untuk menentukan pengoperasian pembukaan sekolah pada September nanti, kita bergantung kepada pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Seperti yang kita sedia maklum, KPM akan mengumumkannya selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh sekolah dibuka.

Saya amat yakin dan percaya bahawa pihak KPM akan membuat keputusan tepat dan tuntas berdasarkan perkembangan semasa melalui data dan sains serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menilai risiko.

Saya yakin KPM ada kepakaran dan kebijaksanaan dalam hal ini dan meletak keselamatan nyawa sebagai pertimbangan utama.

Kepercayaan ini perlu kita berikan kepada KPM dan jika keputusan ada, kita akan akur dengan keputusan itu.


Biarpun wujud beberapa negeri sudah berada di fasa dua dan tiga namun beberapa hari ini dilihat negeri berkenaan merekodkan kes yang agak drastik, Apa pandangan tuan, apakah langkah terbaik untuk mendepani masalah ini?

Dalam hal ini, langkah terbaik ialah KPM perlu mendapatkan pandangan MKN dan KKM kerana mereka ada data dan sains yang boleh dikemaskini setiap hari berkaitan risiko jangkitan.

KPM boleh mendapatkan pandangan pihak berkepentingan seperti kesatuan guru, contohnya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kongres Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia (Kongres), Majlis Guru Besar Sekolah, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia untuk membantu membuat keputusan berhubung pengoperasian pembukaan sekolah.

Pandangan diminta ini bukan sahaja terhad dalam soal pembukaan sekolah tetapi apakah langkah terbaik jika jika Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dilanjutkan masa hingga ke hujung tahun.

Permuafakatan KPM dengan pihak berkepentingan dapat membantu mencari solusi tuntas dan holistik dalam menangani pelan pemulihan pelaksanaan PdPR.

Sebab itu, saya setuju dengan cadangan KPM membuka sekolah secara berperingkat, tetapi berperingkat ini perlu mengambil kira aspek berikut seperti mengutamakan lokaliti sekolah luar bandar dan pedalaman, sekolah di kawasan zon hijau, sekolah kurang murid, kawasan kadar penerima vaksin melebihi had imuniti kelompok dan kadar peratusan tinggi vaksinasi komuniti sekolah serta membenarkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dimulakan untuk vaksinasi.


Pada pandangan tuan, apakah rasional jika penggiliran di sekolah dilaksanakan?

Kaedah penggiliran ini satu alternatif yang terbaik jika boleh dilaksanakan buat masa ini.

Ini kita sebut sebagai pembelajaran secara hibrid. Ada hari murid datang ke sekolah dan ada hari dia belajar di rumah.

Kita boleh tetapkan hari tertentu ke sekolah mengikut tahap mereka secara bergilir.

Isu utama yang ingin kita atasi ialah pemulihan murid, khususnya tahap satu dalam menguasai 3M (membaca, mengeja dan mengira), juga murid yang peralihan ke sekolah menengah.

Satu lagi ialah membantu murid yang rentan pendidikan daripada keluarga miskin dan B40.


Apakah tuan berpuas hati dengan tahap vaksinasi dalam kalangan guru ketika ini?

Alhamdulillah, pengumuman Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) bahawa lebih 85 peratus warga guru sudah mendapat suntikan vaksin untuk dos pertama.

Ini satu usaha berterusan bagi memastikan guru bersedia jika sekolah dibuka.

Namun, saya mengesyorkan suntikan vaksin kepada komuniti sekolah seperti staf sokongan, pengawal, pengusaha kantin ditingkatkan kadar peratusnya supaya mencecah 80 peratus.

Begitu juga ibu bapa pelajar kelas peperiksaan juga perlu divaksin untuk memastikan risiko jangkitan dapat dielakkan.

Termasuk dalam hal ini saya fikir pihak KPM perlu memulakan usaha vaksinasi pelajar STPM kerana mereka sudah berumur 18 tahun dan menjelang Oktober nanti sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 7:01 AM