GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembukaan sekolah secara bersemuka diyakini dapat mengatasi beberapa punca utama yang dihadapi murid dan pelajar ketika ini terutama masalah keciciran pembelajaran serta mengurangkan tekanan jiwa.

Aktivis pendidikan, Prof Madya Dr Zuraidah Abdullah berkata, selain itu pembelajaran secara bersemuka meningkatkan kembali kemahiran sosial dalam kalangan murid terutamanya kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari segi sosio-ekonomi yang rendah.

"Pembukaan semula sekolah pasti mendapat sambutan positif daripada semua lapisan masyarakat kerana sekolah adalah institusi pendidikan formal yang amat penting dalam menjayakan aspirasi negara.

"Sekolah juga memastikan modal insan tetap cemerlang walaupun menghadapi satu siri episod 'buka dan tutup' yang menyebabkan murid-murid tidak dapat hadir ke sekolah," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan, Pentadbiran, Perancangan dan Dasar Pendidikan Universiti Malaya (UM) berkata, seperti dinyatakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini yang akan terus melaksanakan langkah pengurusan yang selamat serta memastikan keselamatan murid, guru dan kakitangan mereka.

"Pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan murid perlu mengikuti garis panduan pembukaan sekolah mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan KPM bagi memastikan anak-anak selamat ketika berada dalam kawasan sekolah.

"Dasar KPM yang lebih fleksibel dalam pemakaian baju seragam sekolah ini seharusnya dipuji kerana memberi nafas lega kepada ibu bapa bagi mengurangkan perbelanjaan mengurus pendidikan anak mereka.

"Bagi saya pemakaian baju seragam sekolah adalah tidak begitu penting, yang lebih utama dan menjadi fokus kepada guru dan ibu bapa adalah mengenal pasti tahap pembelajaran murid mereka dan apakah strategi seterusnya bagi mengembalikan semula dan menambah baik pembelajaran mereka yang ketinggalan selama dua tahun ini," katanya.

Menurutnya, pandemik Covid-19 juga melatih guru lebih berani menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran mereka.

"Saya percaya guru di Malaysia bersedia untuk lebih berinovasi dalam pengajaran dengan mengaplikasikan pembelajaran 'hybrid' bersama murid.

"Ketika ini semua lapisan masyarakat di Malaysia perlu bangkit bagi membantu anak-anak kita di sekolah daripada pelbagai sudut.

"Bukan saja guru dan ibu bapa memainkan peranan, malah pihak universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dalam menangani masalah murid tercicir tanpa menuding jari untuk menyatakan siapa yang harus melakukannya," katanya.

Dr Zuraidah berkata, jika mempersoalkan mengenai SOP dan pengajaran di sekolah seharusnya kepercayaan diberikan kepada guru.

"Guru sudah diberikan taklimat dan pasti dalam masa tiga bulan ini mereka akan diberikan latihan berkala berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan bagi menangani jangkitan Covid-19.

"Sudah tiba masanya sekolah menjadi institusi yang memberi penerangan dan makluman kepada masyarakat sekitar dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah atau Negeri mengenai kepentingan menjaga SOP dan vaksinasi.

"Selain itu, langkah pembukaan sekolah secara berperingkat dengan memberi laluan kepada murid tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah serta pelajar tingkatan 5 dan 6 hadir ke sekolah menengah adalah tindakan yang bijak.

"Ini kerana dapat memberi peluang kepada pihak pentadbir sekolah dan guru memerhati, memantau dan mengenal pasti apakah perkara utama yang perlu diperhatikan ketika semua murid berada di sekolah pada tahun depan dan mengaplikasikan SOP pengoperasian sekolah yang diberikan sama ada perlu ditambah baik atau tidak," katanya.

Menurutnya, murid sudah dianggap lebih matang dan dapat mematuhi langkah pengurusan yang selamat terutama dari segi membasmi kuman premis setiap hari, membersihkan dan mengelap meja selepas digunakan adalah beberapa langkah pengurusan yang selamat yang perlu berlaku secara konsisten di sekolah.

"Oleh itu, latihan yang diberikan kepada murid 'senior' ini juga akan menjadi teladan yang baik kepada murid yang lebih muda.

"Sepanjang pandemik Covid-19 ibu bapa melalui 'waktu sukar' dalam memastikan anak mereka belajar di rumah dan ketika pandemik ini akan membuktikan pentingnya kolaboratif dalam kalangan ibu bapa dan guru," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohd Alif Anas Bin Md Noor berkata, pihaknya menyokong penuh pengumuman KPM untuk membuka semua sesi persekolahan secara bersemuka sebagai langkah mendekatkan semula pelajar dengan institusi pendidikan selepas hampir lima bulan tidak hadir ke sekolah.

"GPMS melihat pelbagai usaha komprehensif yang dilakukan KPM sepanjang proses perbincangan dan sesi libat urus bersama pelbagai pihak terutamanya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajar serta semua pemegang taruh dalam sistem pendidikan memberikan pelbagai input kepada KPM dalam mengeluarkan garis panduan pembukaan sekolah bermula 3 Oktober depan.

"Kerjasama dan perbincangan yang juga dibuat bersama Kementerian Kesihatan (KKM) juga menunjukkan KPM serius dalam memastikan keselamatan pelajar tetap berada pada tahap optimum di kala kebimbangan jangkitan Covid-19 terus menjadi perbualan," katanya.

Menurutnya, GPMS juga kekal serius dalam usaha memastikan keselamatan pelajar sepanjang sesi pembelajaran bersemuka berlangsung.

"Segala SOP yang ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mestilah diikuti serta dipatuhi sepenuhnya.

"Dalam masa yang sama, GPMS terus mengharapkan kepada semua pihak terutama kepada guru untuk memastikan diri masing-masing mendapatkan suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula.

"Bagi ibu bapa juga, GPMS merakamkan penghargaan atas segala sikap toleransi dan kerjasama yang diberikan kepada pihak guru dan anak-anak masing-masing sepanjang PdPR dan juga berharap dapat memberi kerjasama yang baik kepada pihak sekolah sebaik sesi persekolahan secara bersemuka bermula nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 4:51 PM