Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Sesi persekolahan 2021 secara bersemuka yang bermula hari ini bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua menyaksikan ibu bapa hadir ke sekolah menemani anak mereka dalam situasi norma baharu iaitu dengan memakai pelitup muka bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Tinjauan Harian Metro di luar perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri, di sini, mendapati rata-rata ibu bapa akur dengan arahan untuk tidak masuk ke dalam kawasan sekolah.

Cuma, mereka dilihat tidak berganjak selepas menghantar anak masing-masing sebaliknya kekal di luar pagar bagi meninjau keadaan dan mendengar arahan selanjutnya daripada guru.

Juruteknik Teknologi Maklumat (IT) , Syed Yuzani Syed Yunus, 40 yang menetap di Desa Pandan, di sini, mengakui khuatir untuk menghantar anak sulungnya, Syed Luqman, 7, ke sekolah dalam keadaan pandemik yang belum reda.

Namun, Syed Yuzani akur dengan keputusan kerajaan dan yakin dengan kemampuan guru serta pihak sekolah dalam mengendalikan murid supaya sentiasa mengikut SOP ditetapkan.

"Ikutkan risau juga untuk menghantar anak ke sekolah memandangkan dia baru memasuki tahun satu dan kita sedia maklum dengan ancaman Covid-19.

"Perasaan sedih juga ada kerana tidak dapat menemaninya pada hari pertama sehingga ke dalam sekolah.

"Namun, persediaan awal seperti menyediakan kelengkapan anak sudah dilakukan sejak awal tahun lalu bagi menghadapi kemungkinan pembukaan semula sekolah, jadi tiada masalah dalam soal itu," katanya ketika ditemui Harian Metro .

Sementara itu, ibu murid Tahun Satu, Nur Hidayah Roslin, 34, yakin dengan kemampuan guru memantau murid dan memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar walaupun dalam situasi norma baharu.

Bagaimanapun, Nur Hidayah yang juga suri rumah turut memainkan peranannya dalam mendidik anaknya supaya mematuhi SOP terutama memakai pelitup muka sepanjang berada di sekolah.

"Saya menyambut baik keputusan kerajaan membuka semula sekolah kerana langkah itu dapat memberi pengalaman dan pendedahan kepada anak saya mengenai suasana pembelajaran dengan guru di sekolah.

"Ini kerana agak sukar untuk mengawal pembelajaran anak di rumah dan saya percaya guru di sekolah dapat membantu kerana mereka semua adalah pendidik yang berkaliber," katanya.

Pemandu e-hailing, Abdul Rahim Abdullah, 49, pula menyifatkan pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara bersemuka lebih berkesan untuk anak bongsunya, Nur Atilia Syifa,12 , yang disahkan autisme sejak lahir.

"Saya ada belikan anak peranti tablet dan isteri yang membantu memantau pembelajarannya di rumah.

"Namun, tahap pemahamannya tidak sama dengan murid normal jadi saya sokong keputusan kerajaan membuka semula sekolah kerana yakin P&P secara bersemuka dapat membantu anak saya," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pembukaan sesi persekolahan bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, bermula hari ini.

Murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam dibenarkan hadir ke sekolah, pada 8 Mac depan.

Tarikh pembukaan penuh sekolah itu membabitkan semua sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Murid prasekolah, tahun satu dan dua Sekolah Kebangsaan (Satu) Petaling Jaya memulakan sesi persekolahan. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.
Murid prasekolah, tahun satu dan dua Sekolah Kebangsaan (Satu) Petaling Jaya memulakan sesi persekolahan. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 9:27 AM