SUKARELAWAN bergambar kenangan.
SUKARELAWAN bergambar kenangan.
SEBAHAGIAN sumbangan 5-2-2-1 yang diterima, dikumpul sebelum diagih.
SEBAHAGIAN sumbangan 5-2-2-1 yang diterima, dikumpul sebelum diagih.
BAJU diagih terus kepada rumah kebajikan memerlukan.
BAJU diagih terus kepada rumah kebajikan memerlukan.
SUKARELAWAN melipat pakaian mengikut kategori.
SUKARELAWAN melipat pakaian mengikut kategori.
Intan Mas Ayu Shahimi


Terharu melihat gelagat pemberi dan mereka yang menerima. Ada waktunya wanita ini jadi sebak dengan hanya melihat nota ringkas yang diselit penyumbang baju raya. Namun hatinya kadang luluh apabila baju raya terpakai disambut penerima dengan senyuman girang.

Kata Pengarah Projek Baju Raya Project Musliyana Mansor, terlalu banyak memori indah terpahat dalam fikirannya sepanjang enam tahun aktif menjalankan kerja amal bersama sukarelawan dari seluruh negara.

Dalam tidak sedar, cintanya kepada kerja kebajikan juga semakin utuh. Berbanding rasa tanggungjawab, wanita ini sebenarnya berbakti untuk melihat senyuman orang di sekelilingnya.

Tidak kira sama ada pemberi, sukarelawan dan penerima, senyuman yang menguntum di wajah mereka yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam menyempurnakan Baju Raya Project cukup berharga untuk dirinya.

“Mungkin itulah yang orang sebut kepuasan. Selepas berhempas-pulas bergelut dengan masa, komitmen kerja dan keluarga, saya bersama sukarelawan akhirnya mampu menikmati lebaran dengan hati lapang,” katanya.

Bercerita mengenai permulaan awal Baju Raya Project, Musliyana berkata, dia bukanlah pengasas kerja amal terbabit sebaliknya hanya bermula sebagai sukarelawan biasa pada tahun pertama ia diwujudkan.

“Pengasas Baju Raya Project adalah seorang penulis blog iaitu Aida Suraya Daud. Projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif kebajikan di bawah Pertubuhan Projek Kasih (PPK) yang dipengerusikan beliau sendiri. Saya hanyalah sukarelawan yang bermula pada 2013 sebelum diberi kepercayaan oleh Aida untuk meneraju projek terbabit sehingga ke hari ini.

“Seingat saya, pada 2013 kami bermula secara kecil-kecilan dengan pembabitan sekitar 50 sukarelawan. Kami mengumpul baju raya daripada orang awam yang mahu menyumbang dan turut mengambil di tempat tertentu, bergantung kepada lokasi pemberi. Operasi bagaimanapun banyak dilakukan di rumah.

“Alhamdulillah, kini Baju Raya Project semakin berkembang. Kalau dulu, kami menerima baju pun tidak banyak macam sekarang. Sukarelawan juga tidak ramai. Mungkin kerana kuasa media sosial, kepercayaan masyarakat dan sikap pemurah rakyat Malaysia, hari ini kami berjaya bergerak dalam skala lebih besar,” katanya.

Jelas Musliyana, sebagaimana tahun lalu, Baju Raya Project kali ini menerima sumbangan baju Melayu, baju kurung, kebaya, samping, jubah, abaya dan tudung baru atau masih elok untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan dan keluarga yang memerlukan.

“Memandangkan sumbangan baju raya kanak-kanak sukar memenuhi sasaran setiap kali, jadi tahun ini kami juga menerima baju kasual baru atau yang masih elok untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. Bagi yang mahu menderma kemeja dan kain pelikat, kami juga alu-alukan kerana adanya permintaan untuk pakaian lelaki selain baju Melayu.

“Selain pakaian, kami juga menerima sumbangan ‘5-2-2-1’ iaitu lima kilogram (kg) beras, 2kg tepung, 2kg gula dan satu tin susu pekat manis atau sepaket minyak masak. Bagi yang mahu menyumbang biskut raya, kami juga terima.

“Semua operasi berlangsung sehari saja. Itu pun dari jam 8.30 pagi sehingga 1 tengah hari. Bagaimanapun, hebahan dan promosi menerusi media sosial dan rakan sukarelawan sudah mula dilakukan kira-kira dua bulan sebelum Ramadan lagi,” katanya.

BUDI SUKARELAWAN

Menurut Musliyana, dia tidak pernah berasakan kejayaan Baju Raya Project sehingga ke hari ini adalah hasil usaha dirinya sebaliknya berjalan lancar dengan semangat, pengorbanan dan sikap prihatin sukarelawan yang mendaftar setiap tahun.

“Saya seorang yang mementingkan kerjasama dalam pasukan. Oleh itu, sukarelawan projek inilah yang menggerakkan kerja amal kami sepanjang enam tahun ini. Tanpa mereka, perancangan kecil sekalipun mungkin sukar direalisasi. Merekalah penyumbang terbesar dalam memastikan kejayaan projek ini.

“Mereka yang sanggup meluangkan masa rehat bersama keluarga dan berbahagi fokus antara kerjaya dan kerja amal untuk menggembirakan hati golongan kurang bernasib baik. Malah, ada antara ahli jawatan kuasa dan sukarelawan kami yang begitu setia bersama Baju Raya Project, setiap tahun,” katanya.

Pada hari operasi, kata Musliyana, mereka akan tiba ke lokasi lebih awal dan memulakan kerja mengikut tugas masing-masing pada jam 8.30 pagi.

“Biasanya, orang ramai hanya singgah menurunkan sumbangan dan pulang. Kemudian pasukan yang bertanggungjawab menerima akan menyaring setiap pemberian. Kita akan kategorikan setiap pakaian mengikut jantina lelaki, perempuan dan kanak-kanak.

“Semua pakaian yang siap diasing diserah ke pasukan seterusnya untuk membuat anggaran saiz dan diasing sekali lagi sebelum dilipat. Akhir sekali barulah proses membungkus dan melabel plastik.

“Sama seperti saya, sukarelawan juga gembira melihat orang yang dibantu tersenyum gembira. Kalau hendak diikutkan, sumbangan kami bukanlah sebesar mana. Hanya baju raya terpakai, namun ia tetap membawa erti besar buat penerima,” katanya.

Mengenai barang yang tidak jangka, Musliyana berkata, memang selalunya akan ada topi, songkok, telekung, kasut dan pelbagai jenis pakaian lain dalam bungkusan diterima. Bagaimanapun, semua barangan terbabit akan diasingkan ke tepi, dipilih dan ambil jika ada keperluan saja.

“Misalnya, kalau ada songkok yang masih elok, kami akan ambil untuk diberi kepada penerima yang meminta diberi songkok. Begitu juga dengan kasut atau beg. Baki sumbangan yang tidak berkaitan tidak dibuang, sebaliknya di hantar ke pusat pengumpulan pakaian lusuh,” katanya.

Tambah Musliyana, sepanjang menjalankan projek itu, dia dan sukarelawan tidak lari daripada perasaan kecewa atau kesal terutama apabila menerima bungkusan pakaian yang sudah lusuh, koyak, rosak dan berbau.

“Kadang-kadang, ada juga baju yang berkulapuk sampaikan turut berlipas. Mereka ini cuma segelintir kecil dan mungkin sekadar hendak mengosongkan almari saja.

“Sewajarnya, bersedekahlah dengan cara munasabah. Kami yang menerima sumbangan hanya melakukan kerja pengasingan, label dan bungkus saja. Usai semua proses, baju ini akan terus dihantar kepada penerima. Jadi, kalau baju berkenaan bersih dan wangi, sudah tentu ia lebih menggembirakan penerima,” katanya.

SIMPAN MEMORI

Musliyana berkata, dia cukup tersentuh apabila bertemu penerima yang berkali-kali mengucap terima kasih dengan pemberian baju terpakai. Malah, ada antara rumah kebajikan yang pernah menerima sumbangan sama tahun pada sebelumnya mengakui masih menanti jika ada pemberian baju raya terpakai untuk mereka.

“Bayangkan, betapa besarnya nikmat pemberian yang kecil ini buat mereka. Ada waktunya, saya terfikir, kalaulah dapat disediakan baju raya baru untuk mereka, bagaimana agaknya reaksi yang akan saya lihat?

“Sebab itu, kalau melihat sumbangan baju raya yang lusuh dan rosak, kami jadi sebak. Tapi apakan daya, itu saja yang kami mampu sediakan. Kalau ada pakaian baru sekalipun, ia bergantung kepada penyumbang.

“Mungkin kalau ada ramai usahawan, warga korporat dan persendirian yang mahu menyumbang lebih daripada baju terpakai, kami terima dengan penuh rasa syukur,” katanya.

Kata Musliyana, pernah suatu ketika, ada penerima mendapat baju raya terpakai sedondon. Wanita berkenaan dan anaknya menangis terharu kerana menyarung baju serupa buat pertama kali.

“Bagi kita yang memang mampu mengadakan tema sedondon setiap tahun, kisah ini mungkin tidak membawa makna. Tetapi bagi kami, ia membawa seribu rahmat dan rasa syukur kerana berupaya mengadakan sesuatu untuk mereka kenang sampai bila-bila,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 10:03 AM