SUKARELAWAN Nestle Cares menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan.
SUKARELAWAN Nestle Cares menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan.
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Nestle Malaysia terus menghulurkan bantuan kepada keluarga dan individu yang memerlukan sejajar komitmen berterusannya untuk menyokong rakyat Malaysia sepanjang pandemik.

Baru-baru ini ia berganding bahu dengan sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar (DHRRA), Empire Project, Happy Bank Crew, Hunger Hurts Malaysia, Insaf Malaysia, Kechara Soup Kitchen, Pertiwi Soup Kitchen, The Lost Food Project dan Yayasan Food Bank untuk menyalurkan sumbangan makanan.

Inisiatif terbaharu ini bakal menyantuni lebih daripada 20,000 penduduk di kawasan Lembah Klang termasuk warga emas, individu kurang upaya, ibu bapa tunggal dan keluarga berpendapatan rendah serta komuniti Orang Asli di kawasan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, memandangkan pandemik Covid-19 terus memberi kesan luar biasa terhadap kehidupan semua, penting bagi pihaknya untuk terus menyokong mereka yang memerlukan.

"Kami akan mengagihkan bekalan makanan keperluan, menerusi kerjasama dengan rakan NGO bermula di Lembah Klang dan secara beransur-ansur meliputi negeri lain seperti Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan," katanya dalam kenyataan.

Menerusi pelbagai kerjasama yang terjalin, Nestle menyumbangkan produk bermutu tinggi dari jenama seperti Maggi, Milo, Everyday Milk, Nestum dan Cerelac.

Selepas memenuhi janji untuk menyumbang RM15 juta bagi menyokong rakyat Malaysia sepanjang pandemik Covid-19 pada 2020, ia kini turut memberikan sumbangan berjumlah RM7.5 juta setakat ini bagi 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 9:22 AM