KILAFAIRY
KILAFAIRY
Najiy Jefri


PELAKON, Kilafairy mengakui tersentuh sehingga mengalirkan air mata ketika memberitahu sudah berhijab kepada bapanya pada hari raya ke-11 yang lalu.

Kila berkata, dia bersyukur apabila sempat menggembirakan seluruh ahli keluarganya dengan imej terbaharu itu.

"Ketika memaklumkan kepada ayah yang saya mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya, kami begitu sebak sehingga saya mengalirkan air mata.

"Famili saya memang susah nak kongsi perasaan masing-msing kecuali bapa dan saya. Kami ini macam dalam filem hindustan sikitlah.

"Saya lihat wajah ayah berkaca ketika kami saling berpelukan. Saya bersyukur saya sempat melihat keluarga saya gembira dengan perubahan saya ini," katanya menerusi saluran YouTube miliknya hari ini.

Awal tahun ini, anak kepada penyanyi era 1980, Rohana Jalil membuang imej seksi dan mula berpakaian sopan secara perlahan-lahan. Kini, pengusaha produk kesihatan itu sudah terbiasa dengan gaya terbaharu.

Sementara itu, pengacara Neelofa meluahkan rasa syukur apabila sahabatnya tampil dengan imej berhijab.

Kata Neelofa, dia mendoakan agar Kilafairy terus istiqamah dan menjadi wanita solehah.

"Saya doakan semoga awak terus istiqamah, semoga Allah kuatkan hatimu, kuatkan iman, tegakkan iman, dapat menerima manfaat, boleh menjadi wanita solehah dan contoh teladan kepada ramai orang.

"Semoga kau sentiasa bahagia, tenang dan disayangi ramai,'katanya di laman Instagram Story.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 3:25 PM