UYAINA Arshad pada majlis One Thousand And One Tales di Kuala Lumpur Convention Centre. FOTO Rohanis Shukri
UYAINA Arshad pada majlis One Thousand And One Tales di Kuala Lumpur Convention Centre. FOTO Rohanis Shukri
Najiy Jefri


Kuala Lumpur :  Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad menolak tawaran mengacarakan program Akademi Sahur sempena bulan Ramadan ini di Indoesia kerana tidak mahu merisikokan kandungan kedua yang kini berusia lapan bulan.

Uyaina berkata, demi keselamatan kandungannya, dia terpaksa melepaskan tawaran daripada stesen TV di negara jiran itu walaupun menerima bayaran lumayan, termasuk diberikan segala keistimewaan sepanjang bekerja di sana.

"Pada mulanya memang saya nak terima tawaran itu, namun apabila memikirkan kandungan sudah memasuki usia lapan bulan dan perlu berada di Indonesia selama sebulan sepanjang Ramadan, jadi  terpaksa tolak.

"Sekiranya melahirkan anak di sana (Indonesia) proses dokumentasi untuk bayi saya mungkin akan jadi sukar selain perlu tinggal lebih lama untuk berpantang. Apapun, saya berat hati juga untuk lepaskan tawaran ini.

"Sebab saya tahu program itu memang menarik dan mengacarakan program di Indonesia memang seronok. Bayaran ditawarkan juga bagus, selain kru produksi sangat menjaga kebajikan saya dengan baik sepanjang di sana.

"Saya diberikan rumah, pemandu peribadi, jurumekap dan saya sebenarnya hanya perlu bawa diri saja di sana," katanya ketika ditemui pada majlis Raya Ariani 1,001 Tales yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Uyaina, suaminya yang juga penyanyi, Raja Syahiran tidak pernah menghalang dia bekerja selain memberi kebebasan kepada dirinya.

"Suami tak pernah halang saya bekerja sebab dia tahu kemampuan saya.

"Jika saya terima tawaran itu, saya perlu bertugas bermula dari jam 12 tengah malam dan siaran langsungnya pula bermula dari jam 2 pagi sehingga jam 5 pagi.

"Jadi selepas mengambil kira segala risiko, saya nekad untuk menolak tawaran itu beberapa hari lalu," katanya.

Dalam pada itu, Uyaina meluahkan rasa syukur apabila masih diberi peluang sebagai duta Ariani untuk tahun keempat.

"Saya rasa mesti ada sebab kenapa Ariani masih mengekalkan saya sebagai duta kerana saya melalui fasa berbeza dalam kehidupan bermula dari zaman masih bujang sehingga sudah berkahwin dan mempunyai anak.

"Malah, di awal sebagai duta Ariani, saya memakai baju bersaiz XS hinggalah kini M atau XL mengikut potongan baju. Walaupun berubah saiz, tapi saya masih boleh bergaya dengan rekaan produk pakaian ini," katanya.

Untuk rekod, Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Syahiran pada 21 Disember 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Raja Urhan yang kini berusia setahun.

Uyaina dan Syahiran kini menantikan kelahiran cahaya mata kedua mereka yang dijangka pada Mei depan.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 8:59 PM