Wawa Zainal dan Aeril Zafrel pada pra tayangan filem Abnormal Buas di GSC Mid Valley.
Wawa Zainal dan Aeril Zafrel pada pra tayangan filem Abnormal Buas di GSC Mid Valley.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Filem Abnormal Buas yang mula ditayangkan di seluruh negara pada 20 Jun terus mendapat sambutan penonton.

Penerbitnya Wawa Zainal berkata, dia bersama suami juga pelakon Aeril Zafrel memulakan siri promosi dengan turun padang berjumpa peminat di beberapa lokasi di Sabah.

"Sehari sebelum filem ini ditayangkan kami sudah terbang ke Sabah bagi memulakan siri promosi.

"Alhamdulillah, pada hari pertama tayangan kami dapat meluangkan masa berjumpa penonton di dua lokasi di Papar dan Kota Kinabalu. Sambutan sangat bagus dan meriah.

"Tidak dinafikan mereka memang 'sporting' dan sangat memberikan sokongan kepada filem tempatan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Wawa, dia dan Aeril juga akan meneruskan siri promosi itu di TGV I-Central Shah Alam dan GSC IOI City Mall Putrajaya, esok.

Dalam pada itu, Wawa berkata pihaknya turut menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 kepada penonton bertuah menerusi kempen Baca, Tonton dan Menang.

Turut ditawarkan tempat kedua RM5,000 untuk empat pemenang dan RM2,000 untuk 10 pemenang.

"Peserta hanya perlu membeli novel Abnormal Buas, tonton filem ini dan jawab soalan mudah. Pemenang menerusi cabutan bertuah akan dihubungi secara langsung oleh kami di media sosial nanti. Tarikh tutup penyertaan pada 30 Julai," katanya.

Filem Abnormal Buas terbitan Respected Citizen Production adalah filem terakhir arahan pengarah Allahyarham Azhari Zain.

Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Aeril Zafrel, Shaheizy Sam, Nabila Huda, Wawa Zainal, Johan Asari, Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosemila, Kodi Rasheed, Ahmad Yatim, Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Rahim Razali, Jalil Hamid dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:23 PM