BARISAN pelakon ketika Malam Gala Bulan dan Pria Terhebat di MBO The Starlings, Damansara. FOTO Hairul Anuar Rahim
BARISAN pelakon ketika Malam Gala Bulan dan Pria Terhebat di MBO The Starlings, Damansara. FOTO Hairul Anuar Rahim
Georgie Joseph


MESKIPUN dilanda kerisauan terhadap wabak COVID-19, tayangan filem Bulan & Pria Terhebat (BPT) arahan Ghaz Abu Bakar tetap akan ditayangkan mengikut jadual asal pada 12 Mac ini di 146 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Entertainment selaku penerbitnya, Nik Iruwan Datuk Nik Izani berkata pihaknya bagaimanapun memandang serius mengenai situasi itu dan akur jika berlaku perubah saat-saat akhir.

“Kami sedang memantau mengenai situasi ini setiap hari. Setakat ini, tayangan akan tetap diteruskan bermula 12 Mac ini dan sebarang keputusan akan kami buat mengikut keadaan.

“Bagaimanapun, saya berharap tayangan akan diteruskan mengikut tarikh asal disebabkan kalau panggung wayang tak tutup secara teknikal tiada masalah. Melainkan memang kena tutup, memang tak boleh buat apa,” katanya ditemui pada acara pratonton filem itu, semalam.

Iruwan berkata, dia menaruh harapan tinggi agar tayangan filem itu tidak terganggu. Bagaimanapun, hal itu tidak dianggap sebagai tekanan bagi pihaknya.

“Kami sempat berseloroh dengan produksi mengenai perkara ini bahawa tiada masa untuk melengahkan tarikh tayangan. Namun, semestinya timbul keraguan terutama pada situasi sekarang.

“Bagaimanapun, ini adalah filem yang sangat bagus dan kami memerlukan sokongan penonton tempatan. Apatah lagi saya sendiri sebagai penerbit baru, saya harapkan filem ini diterima baik,” katanya.

BPT dibintangi Zahirah MacWilson, Zizan Razak, Maya Karin, Khir Rahman, Bell Ngasri, Didie Alias, Rashidi Ishak, Alif Hadi, Mimi Ernida, Aprena Manrose, Marissa Yasmin, Sofia Dendroff, Sein Qudsi, dan Yus Noor.

Filem yang menelan belanja RM4 itu adalah kerjasama sulung Nizra Entertainment, Astro Shaw dan Skop Productions.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 2:43 PM