Eyka bersama Akhyar.
Eyka bersama Akhyar.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon jelita, Eyka Farhana menafikan dirinya sudah membuat persiapan untuk menamatkan zaman solo bersama kekasih yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid pada tahun ini.

Eyka ketika dihubungi berkata, dia dan Akhyar belum membuat sebarang perbincangan ke arah itu kerana kedua-duanya masih saling mengenali antara satu sama lain. 

"Tidak benar. Kami belum menetapkan sebarang tarikh untuk bernikah tahun ini. Jangan percaya dengan khabar angin yang tidak sahih.

"Jika ada tarikh rasmi yang sudah ditetapkan saya sendiri akan maklumkan pada semua. Tapi buat masa sekarang belum ada berita gembira yang dapat saya kongsikan," katanya kepada Harian Metro.

Tidak melatah dengan khabar angin itu, Eyka atau nama lengkapnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi bagaimanapun berharap peminat dapat mendoakan agar impiannya untuk melangkah ke fasa perkahwinan berjalan lancar dan dipermudahkan.

"Tipulah kalau saya katakan tidak teringin untuk bergelar isteri, tapi masanya belum tiba lagi. 

"Sebenarnya ada banyak komitmen yang perlu saya selesaikan. Saya ada tanggungjawab besar untuk keluarga.

"Namun begitu, saya harap anda semua dapat mendoakan yang terbaik untuk kami berdua,","katanya.

Sebelum ini, pelakon berusia 29 tahun itu dilihat menutup status perhubungan dengan kekasih hati kepada umum, namun mula terbuka berkongsi kisah cinta bersama pemain bola sepak itu sejak 2020.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 8:53 AM