Nora bersama bekas suami, Nedim keluar dari mahkamah. Foto Hairul Anuar Rahim.
Nora bersama bekas suami, Nedim keluar dari mahkamah. Foto Hairul Anuar Rahim.
Fatin Farhana Ariffin dan Serimah Mohd Sallehuddin


Kuala Lumpur: Peguam syarie mewakili pelakon Nora Danish iaitu Ahmad Badri Idris mengagumi sikap positif dan kerjasama baik diberikan anak guam serta bekas suami, Nedim Nazri berhubung kes perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, malam tadi.

Ahmad Badri berkata, prosiding cerai berlangsung di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada jam 8.34 malam tadi berjalan dengan sangat lancar atas kerjasama daripada kedua-dua pihak.

"Saya perlu tekankan bahawa kedua-dua pihak ini menunjukkan kerjasama sangat baik. Mereka juga pasangan baik.

"Bayangkan pada saat yang sukar seperti ini mereka boleh hadir bersama. Bukan senang, kan?

"Jadi, kita doakan sahaja pasangan ini. Cara pengakhiran perkahwinan sangat baik dan memberikan kerjasama baik. Saya rasa anak mereka pun mungkin tak tahu ibu bapa sudah bercerai.

"Malah, kedua-dua pihak tidak mengehadkan berkenaan jagaan anak-anak, semua berlaku seperti biasa, cuma yang beza mereka sudah bercerai. Ia tidak mengganggu anak-anak," katanya.

Ahmad Badri mengakui prosiding perceraian berlaku dalam masa singkat berikutan kedua-kedua pihak sangat positif.

"Sudah tentu nak mendapatkan kerjasama baik kena pastikan semua isu sudah selesai. Kalau tidak, tak mampu buat sedemikian.

"Mutaah, nafkah dan edah juga tidak dibincangkan kerana ia adalah perkara 'secondary'. Paling penting, ikatan.

"Tapi, hadanah ada direkodkan, namun buat masa ini, biarlah beri ruang dan doakan mereka. Sebab kata orang selepas bercerai ini bukan perkara mudah, ia 'makan dalam'.

"Jadi, doakan mereka kekal sebagai kawan sebab mereka ada anak," katanya.

Nora dan Nedim bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Ketika ditemui selepas prosiding, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42, sangat mengharapkan orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.

Bagaimanapun, Nedim atau nama sebenarnya, Mohamed Nedim Mohamed Nazri, 41, yang hadir tanpa peguam enggan mengulas lanjut.

Sebelum itu, Nora berjubah putih hadir bersama Nedim menaiki sebuah kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam pada jam 7.40 malam.

Terdahulu, pasangan ini dilihat gembira meluangkan masa tiga cahaya mata meraikan Hari Bapa, baru-baru ini. Nora memuat naik perkongsian momen indah bersama keluarga dalam Instagram Story (IGs) dipercayai meraikan sambutan Hari Bapa pada 16 Jun lalu.

Pada 29 April lalu, Nora mendedahkan rumah tangga dengan Nedim yang dibina sejak 2017 bergolak.

Nora dilapor mengaku dia dan Nedim berusaha menangani situasi sebaik mungkin agar tidak terjadi perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada anak.

Dalam reaksi balas beberapa hari kemudian, Nedim dilapor menegaskan rumah tangga mereka masih dalam keadaan baik, sebaliknya, hanya 'gaduh-gaduh manja'.

Menerusi sesi 'live' Instagram, Nedim dihujani pertanyaan daripada pengikut mengenai status rumah tangga bersama Nora.

"Tidak ada apa-apapun, saya sayangkan isteri saya. Tolonglah, jangan buat lawak mengarut. Janganlah cakap pasal berpisah, tak baik.

"Saya dan isteri masih baik, kami adalah rakan dan pasangan yang baik," katanya.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 10:23 PM