DAHLIA kongsi pendirian tidak akan menerima lamaran produk atau jenama tanpa mencuba terlebih dahulu.
DAHLIA kongsi pendirian tidak akan menerima lamaran produk atau jenama tanpa mencuba terlebih dahulu.
Najiy Jefri

"JIKA suami (Imran Aqil) bagi 'green light' sudah tentu saya tidak menolak untuk membabitkan diri dalam lakonan," kata Dahlia Rizal, 23.

Dahlia mengulas pertanyaan mengenai trend beberapa pempengaruh media sosial yang mula terbabit dalam lakonan dan nyanyian.

Menurut Dahlia lagi, buat masa ini, suami tidak menggalakkannya berlakon serta mengakui tidak dapat menghafal skrip dengan baik.

"Buat masa ini, suami tidak menggalakkan saya berlakon sahaja. Tapi, kalau berlakon dengannya tiada masalah. Suami tak izin saya bergandingan dengan hero atau berlakon drama cinta.

"Sebenarnya, saya bukan tak minat, tapi selalunya saya sukar hafal skrip bila berlakon untuk jenama produk.

"Apabila saya berkongsi dengan suami mengenai kekurangan diri, suami anggap saya tak bersedia untuk berlakon meskipun ada sahaja tawaran yang menjelma," katanya.

Sebagai seorang yang semakin dikenali ramai, Dahlia tidak menolak hasrat untuk mencuba terbabit dalam lakonan namun bimbang akan menyukarkan banyak pihak.

Katanya lagi, suami yang juga pelakon dan penyampai radio pernah berkongsi pengalaman terbabit.

"Saya boleh cuba, tiada masalah cuma saya tidak mahu pengarah rimas dengan saya. Selain akan mendatangkan masalah kepada orang lain.

"Suami pernah cerita kena marah, jadi saya rasa mungkin belum tiba masa. Tawaran memang ada, tetapi saya tak berani terima," kata.

Dalam pada itu, Dahlia turut berkongsi pendirian tidak akan menerima sesuatu lamaran produk atau jenama tanpa mencuba sendiri terlebih dahulu kerana enggan menanggung dosa dan bimbang azab di akhirat kelak.

Katanya, kesedaran timbul selepas menghadiri majlis ilmu bersama PU Azman yang bercakap mengenai topik 'influencing' yang berkait rapat dengan dirinya.

"Pesannya bertaubat dan padam mana-mana video yang saya rasa tak jujur atau berlebih-lebihan. Jadi, PU Azman suruh padam dan buat semula.

"Dulu saya ambil sahaja barang dan bila saya suka terus ulasan, tapi sekarang saya ambil masa dan akan memberikan komen jujur.

"Saya tidak mahu tanggung dosa dan takut balasan di akhirat. Dalam kelas agama, PU Azman beritahu saya akan mendapat dosa besar jika menipu dalam membuat ulasan.

"Contoh, jika sesuatu produk tidak bagus atau makanan tak sedap, tetapi saya menipu kata bagus. Bayangkan jika 100,000 orang beli produk atau makanan itu disebabkan melihat ulasan yang saya lakukan.

"Saya akan mendapat dosa besar daripada setiap orang yang beli kerana saya. Dulu semasa muda tidak berfikir panjang dan kejar duit sahaja, sekarang saya sedar tanggungjawab pempengaruh sangat besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:20 AM