NIZAM (tiga dari kanan) bersama  artis  yang membuat persembahan  (dari kiri), Zarul, Khai, Amir, Sham, Ameng, G-mie dan Ali. FOTO Aziah Azmee
NIZAM (tiga dari kanan) bersama artis yang membuat persembahan (dari kiri), Zarul, Khai, Amir, Sham, Ameng, G-mie dan Ali. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman


BERBANDING edisi sulung tahun lalu, penganjuran Konsert Amal Artis Legenda 90-an 2.0 menampilkan lapan artis lelaki yang berlangsung di Hotel Mandarin Court Kuala Lumpur, baru-baru ini ternyata lebih kemas dan menghiburkan.

Perancangan hampir tujuh bulan penyanyi Nizam Laksamana menerusi syarikatnya, Nizam Laksamana Production tampak berhasil apabila semua 55 meja yang disediakan dipenuhi peminat yang menyokong sejak edisi pertama Konsert Amal Artis Legenda 90-an diperkenalkan.

Usahanya ini turut dibantu Saudagar Seni yang menggerakkan promosi berkaitan konsert sejak awal lagi serta beberapa syarikat korporat antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kopi Badang yang menghulurkan tajaan.

Konsert Amal Artis Legenda 90-an 2.0 ternyata mempunyai tarikan tersendiri kerana menampilkan barisan artis popular era terbabit iaitu Ali Terra Rossa/ XPDC, Sham Visa, Amir Ukays, G-mie Screen, Zarul Umbrella, Ameng Spring dan Nizam serta Khai Bahar sebagai artis undangan.

ZARUL ketika membuat persembahan. FOTO Aziah Azmee
ZARUL ketika membuat persembahan. FOTO Aziah Azmee

Gabungan nama-nama ini berjaya menarik kehadiran peminat yang mahu melihat nyanyian ‘live’ mereka mendendangkan lagu lama yang sudah dikategorikan sebagai malar segar.

Peminat bersorak apabila Ali menyanyikan lagu Gering dan Bunga Angkasa, Sham dengan lagunya Dalam Gerimis, Amir (Di Sana Menanti Di Sini Menunggu), G-mie (Bila Cinta Didusta), Zarul (Ramalanku Benar Belaka), Ameng (Romantis), Nizam (Gugurnya Bunga Cinta) dan Khai (Luluh).

Semua lagu ini sering diputarkan di stesen radio sehingga kini dan bukanlah masalah untuk peminat mengingati liriknya serta menyanyi bersama mereka.

Peminat amat terhibur dengan persembahan yang disajikan dan menunggu sehingga persembahan tamat.

Lebih menarik, konsert ini turut mendapat sokongan artis lain yang turut hadir seperti Datuk Jamal Abdillah, Rahmad Mega, Along dan Musa Exist serta Keena Mentor.

“Syukur kerana peminat menyokong apa yang dilakukan. Kejayaan takkan berlaku tanpa kerjasama rakan-rakan artis yang turut sama terbabit dan memberikan komitmen terbaik.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada beberapa pihak yang membantu menjayakan persembahan ini dengan menghulurkan bantuan. Tak kira sama ada kecil atau besar, saya amat menghargainya,” katanya.

Teruskan kerja amal

Siri Konsert Amal Artis Legenda 90-an juga menjadi medan buat Nizam melakukan kerja amal.

Sebahagian kutipan daripada konsert ini digunakan buat membantu insan seni yang memerlukan bantuan.

PEMINAT mengambil gambar bersama G-mie. FOTO Aziah Azmee
PEMINAT mengambil gambar bersama G-mie. FOTO Aziah Azmee

Untuk kali ini, Nizam menghulurkan sumbangan kepada 10 penerima antaranya Bob Lokman, Shima, Mak Jah, keluarga Allahyarham pemain bass, Kelly, Awang BPR dan bekas wartawan hiburan, Joha Ahmad.

“Sejak kecil saya dibesarkan di kampung dan jiwa kampung amat dalam. Apabila ibu bapa berpisah dan mempunyai keluarga sendiri, saya dibesarkan nenek di kampung.

“Saya buat pelbagai kerja sehinggalah meningkat dewasa. Jadi, apabila dengar kisah kesusahan artis lain, ia mengingatkan saya kepada memori silam sekali gus menggerakkan hati untuk membantu.

“Insya-Allah saya akan terus menganjurkan konsert begini sebagai cara membantu rakan seangkatan. Memandangkan sambutan yang hangat, saya bercadang akan buat dalam skala yang lebih besar dan mengharapkan bantuan daripada penaja untuk sama-sama

menjayakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 6:30 AM