Nizam Laksamana.
Nizam Laksamana.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Nizam Laksamana amat terharu apabila program anjurannya, Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 pada 4 Jun lalu mendapat sambutan hangat peminat.

Nizam berkata, ia sekali gus membuatkan dia menukar fikiran untuk terus menganjurkan program serupa pada tahun depan.

"Alhamdulillah dengan apa yang berlaku. Saya mengakui pernah mengeluarkan kenyataan membayangkan Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 adalah program terakhir.

"Selepas itu saya dah nak berehat kerana bukan mudah untuk mengendalikan satu program besar yang menuntut pengorbanan dari segi masa, tenaga dan kos yang bukan calang-calang

"Bagaimanapun penerimaan peminat terhadap program anjuran saya yang dah masuk musim ketiga ini membuatkan pendirian saya kembali berubah.

"Mereka terus mendesak saya agar terus anjurkan program untuk edisi 4.0. Malah, ada yang minta saya jemput penyanyi rock otai yang mereka ingat dan minat untuk edisi berikutnya," katanya kepada Harian Metro.

Nizam berkata, dia kini mula merangka perancangan untuk menghasilkan :showcase' berkonsep serupa pada tahun depan.

"Saya sedang kenalpasti penyanyi dan lokasi yang sesuai. Seperti biasa saya akan meneliti permintaan peminat agar mereka puas hati dengan apa yang ditampilkan.

"Seperti biasa saya akan turut menyalurkan sumbangan untuk beberapa pertubuhan seperti Majlis Kanser Nasional (Makna)," katanya.

Terdahulu, Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel itu menggabungkan barisan artis legenda seperti Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Baggio, Tam Spider, Ibnor Riza, Rahmad Mega dan Ramlah Ram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 12:17 PM