Fendy bersama anak tunggalnya, Nur Azalea Zafirah, 7. FOTO dari Instagram Fendy Caliph Buskers
Fendy bersama anak tunggalnya, Nur Azalea Zafirah, 7. FOTO dari Instagram Fendy Caliph Buskers
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 31, masih terus berusaha mendapatkan bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang layak diperolehnya berikutan status individu cacat penglihatan.

Fendy dihubungi berkata biarpun dia masih mampu menyara dirinya bersama anak tunggal, Nur Azalea Zafirah, 7, namun bantuan elaun itu harus diperoleh bagi meringankan perbelanjaan bulanan ditanggung selaku orang kelainan upaya (OKU).

"Saya terus berusaha untuk cuba dapatkan juga bantuan EPC ini kerana memang layak memperolehnya. Apatah lagi, untuk membantu menyara kehidupan saya dan anak Nur Azalea Zafirah yang juga cacat penglihatan dan kanak-kanak autisme.

"Ditambah, kini saya juga perlu menghantar anak ke sekolah pendidikan khas yang terletak di Jalan Batu, Kuala Lumpur, manakala kami pula menetap di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tun Razak, Cheras," katanya.

Fendy berkata bagi keselesaan dan keselamatan anaknya, dia mengambil inisiatif menghantar dan menjemput Nur Azalea Zafirah dari sekolah menaiki 'grab car' yang tambangnya agak tinggi berbanding menggunakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT).

Ditanya juga apakah ada pihak tampil membantunya untuk urusan berkenaan, Fendy berkata dia gembira dan bersyukur kerana ada persatuan orang buta sedia menolongnya dan kini borang permohonan lengkap yang dihantar itu mungkin di peringkat penilaian pihak JKM.

"Namun, sejauh mana progres permohonan EPC yang dibuat itu mendapat perhatian JKM, saya tidak pasti. Tapi,  sekiranya masih lagi tidak dilayan juga mungkin saya perlu ke JKM untuk berbincang lebih lanjut," katanya.

Fendy juga memaklumkan bantuan JKM yang pernah diperolehnya sebelum ini berupa RM500 yang disalurkan selama tiga bulan mulai Ogos hingga Oktober tahun lalu. Namun, untuk bantuan EPC itu memang belum lagi diterimanya walaupun urusan dokumentasi sudah dibuat.

Terdahulu, Fendy pernah berkahwin dengan bekas anggota Caliph Buskers, Nur Nadira Rubiana pada 3 Mei 2014 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan. Bagaimanapun, pasangan ini bercerai pada 2018 dan didedahkan pada 2020 lalu selepas dua tahun berpisah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 8:31 PM