MUNA Shahirah. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
MUNA Shahirah. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
Sudirman Mohd Tahir


NAMA penyanyi Muna Shahirah mungkin masih asing dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Namun, dalam diam Muna, 24, atau nama sebenarnya Muna Shahirah Munadi sudah memiliki dua single iaitu Takdir Cinta yang dilancarkan Februari lalu dan terbaru Teguh Setia.

Walaupun populariti yang diraih tidak sehebat penyanyi baru lain, Muna tetap optimis dan percaya dengan bakat dimiliki.

Malah, Muna yakin rezeki untuknya akan tiba juga. Lambat atau cepat, dia hanya mampu berserah. Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah fokus dan buat sehabis baik demi masa depan kerjaya.

“Memang susah nak cipta nama, tetapi ia berbalik kepada rezeki. Walaupun sekarang trend kebanyakan penyanyi muncul dengan single pop rancak, saya pula berbeza sedikit iaitu pop balada. Kalau boleh, memang nak lain.

“Dari segi suara, masing-masing ada keunikan. Begitu juga saya yang tak mahu terikut-ikut dengan orang lain,” katanya.

Muna yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2014 berkata, dia sedikit pun tidak cemburu dengan kejayaan diraih rakan seangkatan lain.

“Seperti dikatakan tadi, saya sentiasa percaya pada rezeki. Masuk AF atau tak, kalau Allah kata rezeki belum ada, tak boleh juga. Apa yang penting jangan putus asa nak berusaha.

“Lihat Aman Aziz, selepas empat tahun baru namanya dikenali menerusi lagu Sulit. Sebelum ini dia pernah muncul dengan single lain. Jadi, saya berharap menerusi single kedua ini ia akan menjadi,” katanya.

Pada masa sama, Muna cuba mengelak untuk mencipta gimik atau menggunakan kuasa tular semata-mata untuk cepat dikenali.

“Pernah juga terlintas nak tularkan lagu, tetapi apabila fikir semula, untuk apa? Adakah ia akan kekal lama atau memang boleh bantu kejayaan sesebuah lagu? Prinsip saya mudah, kalau lagu itu sedap dan orang dengar banyak kali, tak perlu nak buat gimik atau tular.

“Saya kalau boleh nak cuba secara semula jadi. Biar orang suka secara perlahan-lahan. Saya yakin lagu kedua ini boleh pergi jauh,” katanya.

MUNA sudah memiliki  dua single iaitu Takdir Cinta dan Teguh Setia.
MUNA sudah memiliki dua single iaitu Takdir Cinta dan Teguh Setia.

Pertaruh Teguh Setia

Berkongsi mengenai single kedua ciptaan Ibnu & Ghoufran, Muna berkata, dia menyukai lagu itu kerana ada ‘feel’ seperti lagu popular Haqiem Rusli, Tergantung Sepi.

“Berbanding single pertama, lagu ini lebih dekat dengan jiwa. Melodinya cukup rasa dan kena dengan saya ketika ini. Dalam erti kata lain, kalau nyanyi memang senang nak hayati.

“Paling penting, bertitik tolak daripada kejayaan lagu Takdir Cinta menguatkan semangat saya untuk muncul dengan lagu ini.

“Malah, menerusi lagu itu juga peminat mulai mengenali saya. Atas bantuan pihak syarikat rakaman FMC dan kawan yang ‘repost’ video muzik lagu ini, ia membantu menaikkan nama saya,” katanya.

Menurut Muna, disebabkan lagu itu juga jumlah pengikut di laman Instagram naik mendadak.

Dalam perkembangan lain, Muna berkata, dia kini mahu memberi fokus kepada single kedua.

“Buat masa sekarang memang nak fokus single ini dulu. Lagipun, ia masih dalam proses promosi. Alhamdulillah, sambutan diberikan sangat positif.

“Jauh di sudut hati, kalau boleh saya nak lagu ini menjadi siulan peminat. Malah, sama seperti penyanyi lain juga yang mengharapkan lagu mereka dimainkan di stesen radio,” katanya.

Selain itu, Muna juga menyatakan keinginan menyertai pertandingan nyanyian lain bagi menonjolkan bakat sebenar.

“Ketika di AF, saya tersingkir pada minggu keempat. Jadi, tak puas nak menyanyi dan buat persembahan.

“Kalau ada peluang dan tawaran masuk pertandingan lain, saya memang nak cuba. Saya nak tonjolkan bakat yang orang tak berpeluang nampak sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 6:30 AM