Persembahan Aina (kanan) dan Siti pada Big Stage 2022 akhir semalam.
Persembahan Aina (kanan) dan Siti pada Big Stage 2022 akhir semalam.
Najiy Jefri

 

 

Kuala Lumpur: "Ibarat mimpi jadi kenyataan."

Demikian kata penyanyi Aina Abdul sebaik diberi peluang menyanyi bersama penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada peringkat akhir program Big Stage 2022, semalam. 

Pada acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Aina menyanyikan lagu Purnama Merindu manakala Siti mendendangkan lagu Semalam sebelum keduanya tampil 'mash up'. 

Aina berkata, dia bukan hanya meminati nyanyian figura hebat itu sebaliknya obses dengan kehebatan Siti dalam industri seni hiburan tanah air. 

"Peluang untuk berada satu pentas bersama beliau sentiasa saya nantikan. Banyak kali saya kongsikan perkara ini kepada pasukan saya. Bukan sahaja minat, tapi obses. Malah mak saya pun meminati beliau. 

"Untuk saya berduet bersamanya walau hanya dalam tempoh lima minit sahaja, saya bersyukur dan gembira. Beliau berikan saya aura positif hari ini (malam tadi). Beliau sambut saya dengan tangan terbuka," katanya. 

Menurut Aina, pemilihan lagu Purnama Rindu yang dipersembahkan adalah cadangan yang diberikan oleh Siti serta pengurusnya Rozi Abdul Razak.

"Tok Ti (Datuk Seri Siti) dan Kak Rozi yang cadangkan saya untuk menyanyikan lagu Purnama Merindu. Rasanya mungkin sebab mereka ada nampak saya buat 'cover' lagu itu sebelum ini. 

"Lagu 'cover' pertama saya di YouTube ialah Purnama Merindu. Saya terus 'on', tak kisah lagu apa beliau nak pilih, saya akan cuba belajar. Apa yang kalian lihat semalam itu ialah perancangan yang dibuat dalam tempoh singkat.

"Apa yang kami persembahkan itu adalah perancangan yang dilakukan hanya menerusi WhatsApp sahaja. Petang sebelum malam akhir kami ada buat latihan untuk kali pertama. Jadi apa-apa kekurangan daripada pihak saya, saya minta maaf," katanya. 

Dalam masa sama, Aina bimbang dengan reaksi yang bakal diberikan orang ramai selepas persembahannya itu. 

"Jujur saya pun 'struggle' sebab kalau saya nyanyikan lagu Tok Ti, mesti rasa nak terikut-ikut caranya. Sebenarnya bila dapat peluang ini, saya gembira namun sedikit tertekan pada masa sama. Sebab saya sedar, peminat akan ada yang 'critical listening' dan saya hargainya. 

"Cuma rasa takut juga kalaulah apa yang saya bawa di bawah jangkaan mereka. Tapi apa yang saya belajar daripada Tok Ti, beliau menyanyikan lagu saya dengan caranya yang tersendiri dan saya terpanggil untuk melakukan sesuatu.

"Saya tidak tahulah bagaimana yang kalian dengar. Cuma dalam tempoh singkat itulah yang apa boleh saya persembahkan," katanya.  

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 1:23 PM