DJ Lin (kiri)
DJ Lin (kiri)
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pengurus besar yang juga penyampai radio Suria FM, DJ Lin, 47, sekali lagi merangkul Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai anjuran majalah antarabangsa Reader's Digest yang berlangsung pada 14 Jun lalu.

DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid berkata, dia teruja dengan anugerah yang diterima dan pada masa sama meluahkan rasa syukur di atas pengiktirafan terbabit.

"Anugerah yang diterima ini adalah atas doa keluarga dan sokongan serta hasil undian daripada rakyat Malaysia yang sentiasa bersama saya sepanjang 23 tahun bertapak dalam industri radio Malaysia. "Anugerah dan pencapaian ini bukan sahaja untuk diri saya, bahkan mewakili seluruh keluarga Suria FM dan ia juga membuktikan jenama DJ Lin dan Suria Cinta terus bertapak kukuh di hati pencinta dunia radio.

"Terima kasih yang tak terhingga buat pihak penganjur, majalah antarabangsa, Reader's Digest dan semua yang sentiasa disisi sepanjang perjalanan karier saya sebagai seorang penyampai radio," katanya.

Tahun lalu, DJ Lin diiktiraf sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai menerusi kejayaan dicapai pada Anugerah Reader's Digest Trusted Brands ke-23.

Apa yang menarik, anugerah ini adalah anugerah ke-11 buat DJ Lin.

Anugerah Reader's Digest Trusted Brands ke-24 mengiktiraf jenama yang dipercayai berdasarkan undian daripada 8,000 individu yang dipilih daripada lima negara antaranya Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.

"Saya bersyukur atas segala nikmat yang diperoleh. Apapun kejayaan ini tak dapat dikongsi bersama oleh emak tercinta iaitu Puteh Jantan yang meninggalkan kita pada Jumaat lalu.

"Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang sudi menghulurkan salam takziah serta yang memanjatkan doa buat arwah emak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 12:41 PM