MICHELLE (empat dari kanan) menggalas tanggungjawab sebagai penerbit.
MICHELLE (empat dari kanan) menggalas tanggungjawab sebagai penerbit.
SEBAHAGIAN calon yang bertanding ketika majlis sidang media Anugerah Melodi 2016, baru-baru ini.
SEBAHAGIAN calon yang bertanding ketika majlis sidang media Anugerah Melodi 2016, baru-baru ini.
Sudirman Mohd Tahir


Buat julung kalinya program hiburan popular Melodi menganjurkan Anugerah Melodi 2016 yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini.

Selepas dua tahun tertunda, anugerah ini dilihat sebagai satu lagi jenama baru kepada program hiburan yang sudah bersiaran lebih 20 tahun itu.

Menariknya, penganjuran anugerah ini bertujuan mengangkat dan mengiktiraf 10 ikon industri hiburan menerusi 10 kategori yang dipertandingkan.

Penerbitnya Michelle Wee berkata, setiap kategori mempertandingkan lima finalis yang disenarai pendek berdasarkan pencapaian mereka selain mempunyai pengaruh di media sosial.

“Kita sedar program ini tak lengkap tanpa cerita panas, sensasi dan kontroversi. Namun, untuk anugerah ini kami hanya fokus kepada aspek itu dari sudut positif. Bukan apa, kami tidak mahu mengiktiraf sesuatu yang ke arah negatif.

“Selain itu, calon juga perlulah sensasi daripada pelbagai aspek seperti penampilan dan pembabitan mereka dalam industri hiburan.

“Pada masa sama penilaian juga dibuat menerusi komitmen artis itu terhadap kerjaya dan pencapaian mereka seperti pernah memenangi anugerah,” katanya.

Menurut Michelle, pihaknya juga mewujudkan kategori Personaliti Sukan Melodi kerana ingin memberi kelainan di samping mahu mengangkat dan menghargai mereka yang banyak mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Sekarang golongan atlet juga adalah selebriti dan mereka mempunyai ramai pengikut. Jadi tak salah untuk membabitkan mereka dalam anugerah ini.

“Bagi saya kategori ini satu lagi kelainan dan pada masa sama dapat memberi penghargaan kepada mereka yang banyak mengharumkan nama negara,” katanya.

Sepuluh kategori yang dipertandingkan ialah Personaliti Filem Melodi, Personaliti Muzik Melodi, Personaliti Drama Melodi, Personaliti Pengacaraan Melodi dan Personaliti Media Sosial.

Personaliti Komedi Melodi, Personaliti Pasangan Sensasi Melodi, Personaliti Fesyen Melodi, Personaliti Sukan Melodi dan anugerah utama Personaliti Sensasi Melodi 2016.

Anugerah utama itu bakal meraikan personaliti sensasi yang berperwatakan menarik, mempunyai aura, karisma dan daya tarikan selain mampu memberi inspirasi kepada masyarakat.

Pemilihan pemenang ditentukan sepenuhnya oleh peminat menerusi undian yang dibuka bermula 31 Oktober sehingga 30 November depan.

Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat mendominasi pencalonan apabila dicalonkan dalam tiga kategori termasuk anugerah utama iaitu Personaliti Muzik Melodi, Personaliti Media Sosial Melodi dan Personaliti Sensasi Melodi 2016.

Selain Ayda, pelawak Zizan Razak juga mendapat tiga pencalonan dalam kategori Personaliti Filem Melodi, Personaliti Media Sosial Melodi dan Personaliti Sensasi Melodi 2016.

Anugerah Melodi 2016 bakal berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur jam 9 malam.

Undian boleh dibuat menerusi www.anugerahmelodi.com.my

Ayda serah kepada peminat

Ayda, 24, yang tercalon dalam tiga kategori tak pernah meletakkan harapan untuk menang atau berasa akan menang mudah.

“Saya hanya berusaha dan sekiranya berjaya itu adalah rezeki. Namun, sebagai calon tugas saya adalah untuk membantu memeriahkan acara dengan mempromosikannya di laman sosial. Dengan cara itu, peminat akan lebih peka,” katanya.

Ayda yang juga penyanyi lagu Pencuri Hati tidak memikirkan soal persaingan sebaliknya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada peminat untuk mengundi.

“Memandangkan ini acara berprestij pertama Melodi, jadi tak salah sekiranya kita sebagai artis saling menyokong dalam menjayakan lagi acara ini. Pada masa sama saya menganggap pencalonan ini sebagai satu lagi tanda penghargaan.

“Saya tak berasa tertekan pun cuma ia jatuh kepada peminat. Ini kerana undian berdasarkan 100 peratus undian mereka. Jadi mereka yang perlu bekerja keras. Saya hanya boleh mempromosikannya,” katanya.

Amyra tak letak sebarang harapan

Pelakon Amyra Rosli yang tercalon dalam kategori Personaliti Drama Melodi tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang.

Menurut, dia sudah bersyukur apabila layak ke Top 5.

“Saya serahkan kepada peminat untuk membuat undian. Calon lain dalam kategori ini pun hebat belaka dan saya percaya masing-masing mempunyai peminat tersendiri.

“Bagi saya anugerah ini satu lagi platform terbaik untuk selebriti tempatan mendekati peminat mereka,” katanya.

Pada acara itu juga, Amyra turut ditugaskan sebagai penyampai bagi salah satu kategori bersama bakal suaminya pelakon Amar Baharin.

Awal tak sangka tercalon 2 kategori

Bagi Awal Ashaari yang juga pengacara Melodi, dia tidak menyangka tercalon dalam dua kategori iaitu Personaliti Pengacaraan Melodi dan Personaliti Pasangan Sensasi Melodi.

“Bagi saya pencalonan ini adalah satu penghargaan untuk saya. Apatah lagi tercalon dalam kategori Personaliti Pengacaraan Melodi sesuatu yang bermakna untuk saya. Bukan apa, sepanjang program ini bersiaran banyak lagi pengacara sensasi lain yang pernah mengendalikan program ini.

“Namun, saya percaya pemilihan yang dibuat mempunyai kriteria tertentu. Jadi bukan hak saya untuk mempertikaikan pemilihan ini,” katanya.

Mengenai pencalonannya dengan Scha, Awal menyifatkan jenama mereka selama ini berjaya melekat di hati banyak pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 10:30 AM