SASARAN Ben Amir bergelar pelakon filem jadi kenyataan, bakal bintangi Rebel. FOTO Arkib NSTP
SASARAN Ben Amir bergelar pelakon filem jadi kenyataan, bakal bintangi Rebel. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Cita-cita dan impian untuk bergelar pelakon filem tentunya menjadi matlamat bagi setiap yang bergelar pelakon.

Bagi Ben Amir, dia juga tidak terkecuali dalam menjadikan itu sebagai sasaran.

Kini, impian yang disimpan sejak lapan tahun lalu ketika mula-mula melangkah masuk ke dunia seni bakal menjadi kenyataan apabila dia bakal membintangi filem aksi terbaharu berjudul Rebel.

"Lapan tahun saya menunggu peluang ini dan apabila ditawarkan, ia umpama satu imaginasi saya yang menjadi kenyataan. Sejak dulu, ketika masih bergelar pelakon tambahan, matlamat saya adalah untuk menjadi hero dan berlakon dalam filem.

"Saya tak kisah apa pun genre filem yang saya akan lakonkan, tapi paling saya nantikan adalah filem bergenre aksi. Jadi, bila dapat peluang, saya rasakan ini umpama satu permulaan baharu buat kerjaya saya," katanya.

Menurut Ben, dia yang pernah membintangi banyak drama popular tempatan mahukan satu evolusi dalam kerjaya seninya sebagai pelakon.

"Setiap pelakon perlu berevolusi dan berkembang. Dalam kata lain, kita tak boleh kekal dengan satu bentuk karakter saja. Saya sebagai pelakon lebih suka untuk pelbagai karakter yang saya lakonkan sebab saya tak mahu orang kenal saya dengan satu karakter saja.

"Semakin meningkat usia kerjaya seseorang itu, maka kita juga akan semakin matang dan karakter pun akan banyak berubah. Sebenarnya, banyak lagi karakter yang ingin saya cuba selepas ini," katanya.

Berkongsi mengenai filem Rebel arahan pertama penyanyi dan pelakon, Datuk Awie, Ben berkata, ini adalah satu filem aksi yang sarat dengan mesej buat penonton.

BEN bakal jalin kerjasama dengan Awie. FOTO Aswadi Alias
BEN bakal jalin kerjasama dengan Awie. FOTO Aswadi Alias

"Dalam filem Rebel ini, saya memegang peranan sebagai Luka, iaitu watak utama. Kehidupan Luka dikelilingi dengan kejahatan, dadah, gengster, pelacuran dan banyak lagi perkara-perkara tidak bermoral.

"Walau bagaimanapun, dia memilih untuk tidak terjerumus ke dalam kancah itu. Dia memilih untuk menjadi orang yang baik dan banyak membantu orang di sekelilingnya. Dia gunakan pengaruh yang dia ada untuk merekrut pasukannya dan membantu melawan kejahatan.

"Menerusi watak Luka, ada banyak kelainan untuk diri saya sendiri sebagai pelakon. Dalam filem ini, tak banyak sangat babak percintaan, sebaliknya lebih memfokuskan kepada aksi dan nilai hubungan persahabatan atau 'brotherhood'," katanya.

Menurutnya, skrip yang kuat menjadi satu faktor mengapa dia bersetuju untuk terbabit sama sebagai pelakon dalam filem yang akan memulakan penggambaran pada hari ini.

TERUJA untuk memulakan kerja dengan Awie selepas tertangguh ketika filem arahan Mamat Khalid. FOTO Arkib NSTP
TERUJA untuk memulakan kerja dengan Awie selepas tertangguh ketika filem arahan Mamat Khalid. FOTO Arkib NSTP

"Ia adalah kisah yang berkisar mengenai apa yang berlaku di dunia nyata dan diterjemahkan ke dalam bentuk filem. Selepas membaca skrip filem Rebel ini, saya dapati bahawa ia bukanlah mengenai gangster semata-mata atau apa, sebaliknya, ada mesej yang ingin disampaikan menerusi jalan ceritanya.

"Antara mesejnya adalah, supaya orang ramai tidak memandang dan menghakimi kehidupan mereka yang dikelilingi dengan kegiatan gangster seperti ini," katanya.

Ketika ditemubual, Ben juga turut berkongsi keterujaannya untuk memulakan kerja dengan Awie.

"Sebelum ini, saya pernah ditawarkan untuk bekerjasama dengan Datuk Awie dalam satu filem arahan Mamat Khalid. Namun, ia tak dapat dibuat dan sekarang, rezeki mempertemukan saya semula dengannya.

"Saya pun dah lama nak bekerjasama dengannya dan memang sangat teruja. Selalu juga saya tonton lakonannya, dan kali ini, saya berpeluang bekerja di bawah arahannya dan dia pun akan turut berlakon bersama dalam filem Rebel ini," katanya.

Mengulas mengenai kerjaya seninya sepanjang suku pertama tahun ini, Ben menganggap bahawa filem ini adalah satu permulaan baharu untuknya.

"Dari segi kerjaya seni, 2022 saya anggap sebagai tahun yang baik dan sejak dua tahun lalu pun, memang dah banyak juga stok karya yang saya bintangi. Insya-Allah, ini akan menjadi satu lagi permulaan baharu untuk saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 7:00 AM