FILEM Rebel lakonan Awie jadi medan ujian awal kemampuan beliau sebagai pengarah.
FILEM Rebel lakonan Awie jadi medan ujian awal kemampuan beliau sebagai pengarah.
Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dan pelakon yang kini bergelar pengarah, Datuk Awie menaruh harapan agar filem pertama sentuhannya berjudul Rebel dapat diterima penonton.

Menurut Awie atau Ahmad Azhar Othman, 55, selepas agak lama bergelar seorang pelakon, sudah tiba masanya untuk dia menonjolkan dirinya sebagai pengarah.

"Tidak dinafikan tugas menjadi pengarah itu lebih sukar berbanding pelakon. Namun, sekurang-kurangnya saya belajar banyak perkara.

"Untuk filem pertama ini mungkin ada beberapa kelemahan dan kekurangan, tetapi saya akan perbaiki sekiranya mendapat peluang sebegini pada masa akan datang," kata vokalis kumpulan Wings itu.

Bercerita lanjut Awie yang sudah sekian lama terbabit dalam lakonan dengan penampilan puluhan naskhah di layar perak termasuk pelbagai watak memberitahu mengenai permulaan diberikan peluang mengarah filem selepas bertemu Allahyarham Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London.

"Arwah bersama penerbit datang berjumpa saya dan kami berbincang mengenai filem Rebel, namun agak terkejut apabila mereka turut menawarkan saya mengarahkan filem ini.

AWIE turut berlakon dalam filem arahannya.
AWIE turut berlakon dalam filem arahannya.

"Secara jujurnya, saya anggap ini satu tanggungjawab yang besar. Apapun saya terharu dengan peluang yang diberikan dan menerimanya dengan hati terbuka," katanya.

Biarpun idea dan cerita asal filem Rebel adalah cetusan daripada dirinya sendiri, Awie menjelaskan jalan ceritanya langsung tidak ada berkaitan dengan mana-mana pihak atau pertubuhan.

Kata Awie lagi, apa yang ingin dipaparkan olehnya adalah mengenai proses 'baik pulih' dalam sesebuah pertubuhan yang mungkin ada berlaku sebarang kepincangan.

"Selain itu, intipati paling utama yang ingin saya paparkan adalah sikap 'rebel' atau memberontak yang ada dalam diri dan jiwa seorang individu.

ANTARA aksi menarik dalam filem Rebel.
ANTARA aksi menarik dalam filem Rebel.

"Dalam kehidupan ini, setiap manusia tak ingin dilahirkan nak jadi jahat. Tentu ada punca yang membuatkan individu itu ada sikap 'rebel' dalam dirinya, Itu yang saya ingin tonjolkan dalam filem ini," katanya.

Sementara itu, Zamin Fakry Zainol selaku penerbit berkata, pemilihan Awie selaku pengarah dibuat lantaran pengalaman luasnya dalam bidang lakonan.

Tambahnya, pihaknya merasakan sudah tiba masanya untuk Awie diberi peluang meraih pengalaman sebagai pengarah filem.

"Sudah banyak filem yang beliau berlakon dengan pelbagai watak yang pernah dilakonkan. Jadi, kami begitu yakin pengalaman yang dimiliki itu dapat diterjemahkan pula apabila beliau duduk di kerusi pengarah.

"Sepanjang penggambaran dilakukan kami lihat beliau melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan ia dibuktikan dengan filem ini," katanya.

Filem Rebel menampilkan dua pelakon terkenal iaitu Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama, selain Shikin Kamal, Azlan Komeng dan Awie sendiri.

Dihasilkan dengan kos hampir RM1 juta, filem Rebel akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 2 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 6:32 AM