Siti Nurhaliza berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Nurjiwa di Hotel Royale Chulan, hari ini. FOTO SADIQ SANI
Siti Nurhaliza berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Nurjiwa di Hotel Royale Chulan, hari ini. FOTO SADIQ SANI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi wanita tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 45, tidak pernah memikirkan untuk dirinya mendapat gelaran Biduanita Negara kerana pembabitan utama dalam karier nyanyian adalah menghiburkan peminat.

Siti berkata, meskipun memiliki gelaran Biduanita Negara itu sebagai bonus, namun ia sama sekali tidak pernah menjadi matlamat 'pertama' dalam dirinya sepanjang menceburi industri hiburan selama ini.

"Sebenarnya berdirinya saya di sini sebagai penggiat seni lebih kepada menghiburkan, berjuang untuk minat yang saya ada. Saya tidak pun berdiri untuk segala 'title' (gelaran) sebab ia akan datang tepat pada waktunya.

"Saya tidak menagih ke atau pun apa. Kadang-kadang saya rasa alamak macam nak tergelak pun ada, rasa macam kenapa harus diperdebatkan? Bagi saya, memang ada ramai lagi (penggiat seni) yang lebih bagus, yang lebih lama," katanya.

Menurut penyanyi lagu Jerat Percintaan dan Cindai ini, biarlah urusan pemilihan siapa layak untuk gelaran Biduanita Negara itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak yang berkenaan untuk membuat penilaian.

"Untuk saya sendiri, tidaklah melihat ini (gelaran Biduanita Negara) sebagai satu perkara yang perlu diperdebatkan. Kalau dah rezeki, sampai masa, kalau betul-betul rezeki saya, dapatlah.

"Kalau tidak (dapat) pun, saya tak rasa apa-apa pun sebab cinta saya itu lebih kepada kerja-kerja menghiburkan. Orang yang menonton, melihat persembahan dan menghargai lagu-lagu saya, itu lebih memberi makna.

"Apapun, ia juga bukan saya bermaksud tidak menghargai itu (gelaran), tetapi perjuangan utama saya adalah terhadap karier. Saya tidak berjuang untuk mendapatkan sesuatu gelaran ke apa. Tak terfikir, memang di kepala saya tidak terfikir lagi pun (Biduanita Negara)," katanya.

Tegas ibu dua cahaya mata ini, beliau memang tidak pernah meletakkan sasaran untuk meraih gelaran tertentu di dalam dirinya, melainkan fokus kepada buat kerja menghiburkan peminat dan bergembira.

Terdahulu, Siti ditemui media pada 

majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Nurjiwa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, di sini, semalam.

Baru-baru ini, selepas kejayaan Siti ketika menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu, ia menarik perhatian ramai pihak yang menyarankan agar gelaran Biduanita Negara wajar diberikan kepadanya di atas pelbagai pencapaian.

Difahamkan juga saranan itu mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang memaklumkan fasa awal cadangan penganugerahan gelaran berkenaan kepada Siti masih dalam proses perbincangan dalaman.

Sebelum ini, gelaran Biduanita Negara iaitu penganugerahan kepada anak seni oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hanya pernah diberikan kepada dua penyanyi iaitu Allahyarham Puan Seri Saloma pada 1978 dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini (2006).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:09 PM