Antara babak membabitkan Zizan dan Bienda.
Antara babak membabitkan Zizan dan Bienda.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Nama Zizan Razak cukup sinonim dengan komedi. Baik dalam bidang lakonan mahu pun pengacaraan.

Malah, dia antara pelawak yang sering mendapat pengiktirafan atas bakat dimiliki.

Namun, kemunculannya menerusi telefilem Damak Si Kuba yang disiarkan di saluran Astro Ria pada 17 September lalu jauh dari kebiasaan penampilan Zizan yang sering dipaparkan di filem atau TV.

Karya arahan Zainorsham @ Wak Dol dan diterbitkan oleh pelawak, Issey Fazlisham itu memerlukan Zizan bermain dengan emosi sesuai dengan genre naskhah itu, drama dan kekeluargaan.

Zizan, 38, atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, menangis antara babak yang sukar dibuat.

"Ini juga antara yang sukar iaitu menangis tapi dalam cerita ini saya sendiri belajar teknik itu sampai saya menangis teresak-esak. Saya tak sangka saya dapat buat. Tapi kalau kita faham kisah sebenar dan mendalami, kita boleh faham.

"Segelintir orang cakap, untuk watak sedih kita kena ingat perkara paling sedih. Konsep itu akan lari dan tak kena. Dalam cerita ini, dia orang susah. Jadi kita faham watak yang kita bawa dan secara tak langsung kita menangis," katanya.

Menurut Zizan, dia menerima tawaran berlakon dalam cerita itu antara lain mahu menunjukkan sisi dan wajah lain dirinya yang jarang sekali diketengahkan kepada penonton.

Lakonan penuh emosi Zizan.
Lakonan penuh emosi Zizan.

"Kalau orang ramai terima, saya boleh kembangkan kerjaya saya ke arah sesuatu yang baru, orang tak pernah tengok. Saya risau juga sebab waktu penggambaran, orang buat kelakar dengan saya. Itu membuatkan saya terfikir, macam mana orang nak terima saya buat cerita ini iaitu serius dan sedih.

"Ini mencabar saya untuk meyakinkan orang yang saya berlakon dalam cerita ini adalah lain. Bukan seperti dalam cerita kelakar yang lain. Sebab orang jumpa nak bergurau dengan saya, itu mencabar juga untuk saya di lokasi penggambaran sebab saya kena fokus," katanya.

Berkongsi mengenai watak Pok Chek yang dilakonkan itu, Zizan berkata, dia mewakili orang susah.

"Saya melakonkan watak orang susah, kerja kebun dan mendapat anak yang buta. Banyak kejadian tak diingini berlaku. Saya berasa susah hingga habis penggambaran saya masih termenung. Pendek kata, dalam cerita ini saya mewakili orang susah. Ada orang yang melalui kesusahan begini," katanya.

Damak Si Kuba memaparkan kisah seorang anak pengembala yang kehilangan ibunya akibat kanser melalui saat sukar apabila perlu berpisah dengan kerbau kesayangan bagi menampung kewangan keluarga. Dia cuba mencari pelbagai jalan supaya bapanya tidak menjual kerbau kesayangannya itu.

Selain Zizan, telefilem itu turut membariskan pelakon lain seperti Danish Hazriq (Mawi), Bienda (Mek Ika), Angie Tan Ang Lee (Khaleeda) dan Mak Sheen (Cik Manis).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 7:00 AM