Syafil Syazwan Jefri


SEMAKIN beredarnya waktu ke era yang lebih moden, semakin ramai individu yang ingin mengaut keuntungan menggunakan jalan pintas.

Datang dengan pelbagai modus operandi, mereka mengumpan dengan pelbagai tawaran. Ada antaranya tidak masuk dek akal dan pada masa sama mengatur strategi untuk memerangkap mangsa yang mudah terpengaruh.

Itulah yang dipaparkan dalam telefilem terbaharu berjudul Rompak yang bakal dilakonkan Zizan Razak.

Bakal memulakan penggambaran pada 26 Februari ini, Zizan berkongsi serba sedikit persiapannya untuk menjayakan watak Ashraf dalam telefilem itu.

"Telefilem ini adalah satu karya komedi yang ada sedikit aksi serta drama percintaan. Apa yang boleh saya kongsikan, ia akan ada sedikit 'vibe' daripada filem Fast & Furious dan juga siri Money Heist," katanya.

Namun, karya Rompak ini bukanlah 100 peratus meniru apa yang pernah dipertontonkan dalam dua karya antarabangsa itu.

"Idea mengenai jalan cerita sebegini bukanlah asing sebab memang dah ada. Cuma dalam Rompak, apa yang dipaparkan adalah apa yang berlaku di tempat kita," katanya.

Bergandingan dengan bakat baharu, Zizan berasakan bahawa gabungan ini adalah satu strategi yang baik.

"Saya rasa ini kombinasi yang baik. Antara sebab saya bersetuju untuk menerima tawaran lakonan dalam karya kali ini adalah kerana adanya muka baharu.

"Dengan itu, kami boleh saling bertukar ilmu sebab itu penting dalam memajukan industri seni lakon tanah air.

"Selain itu, sebab lain adalah kerana jalan ceritanya yang luar biasa memandangkan 'rompakan' secara 'scam' ini semakin menular dalam masyarakat kita," katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman berdepan dengan penipu atau 'scammer', Zizan berkongsi cerita dia juga pernah menjadi mangsa.

ZIZAN bersama barisan pelakon telefilem Rompak (dari kiri) Chubb E, Daiyan, Siti Khadijah dan MK K-Clique.
ZIZAN bersama barisan pelakon telefilem Rompak (dari kiri) Chubb E, Daiyan, Siti Khadijah dan MK K-Clique.

"Penipuan di Malaysia sangat hebat. Ramai yang jadi mangsa penipuan ini dan sedikit sebanyak, saya berharap kehadiran telefilem ini akan membuka mata sekali gus memberi impak kepada penonton.

"Kalau mengenai pengalaman saya, saya pernah menjadi mangsa 'scammer' pada 2008. Ketika itu saya tertipu dengan proses jual beli kereta apabila saya sudah pindahkan sejumlah RM1,500 kepada seorang individu yang menjual kereta.

"Namun, selepas wang dipindahkan, kereta tak dapat pun. Selain itu adalah juga beberapa 'scammer' yang menggunakan modus operandi untuk pelaburan dan sebagainya," katanya.

MAHU sekali lagi kembangkan karier ke Indonesia.
MAHU sekali lagi kembangkan karier ke Indonesia.

Selain Zizan, telefilem itu juga turut dibintangi Daiyan Trisha, MK K-Clique, Chubb E dan Siti Khadijah.

Ditanya mengenai perancangan kerjaya seninya untuk 2022, Zizan berkata, dia ada beberapa rancangan untuk melebarkan sayap.

"Sebelum ini, saya pernah mencipta nama di Indonesia, namun tidaklah terlalu mekar. Jadi, tahun ini, insya-Allah, saya akan cuba sekali lagi untuk mencipta nama di sana.

"Selain itu, saya juga akan meluaskan lagi perniagaan restoran makanan Korea Selatan milik saya dengan membuka beberapa cawangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 6:00 AM