Datuk Red.
Datuk Red.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : "Siapa nak ambil 'hero' tua ni? Orang tua ini, siapa yang nak ambil (berlakon)," kata ahli perniagaan yang kini berstatus muflis, Datuk Red, 46, apabila ditanya mengenai tawaran sebagai pelakon.

Terdahulu, Datuk Red atau Datuk Seri Adenan Abu menjadi perhatian ramai di media sosial selepas membuat pendedahan di TikTok mengenai dirinya yang berhadapan masalah kewangan sejak 2019 lalu serta bergantung bantuan dua isterinya, Datin Red dan Adira Suhaimi.

"Saya memang niat 'keluar' (buat pendedahan) pun sebab ingin mencari duit, nak menyelesaikan hutang dan nak menyara keluarga, itu saja niat saya. Tapi, setakat ini tawaran berlakon memang belum ada.

"Cuma, sekarang apa saja pekerjaan yang mendatangkan halal, insya-Allah kalau kena gaya, saya akan ambil. Saya tak peduli sebab itu adalah rezeki.

"Jadi, kalau mereka (pihak produksi dan stesen TV) yakin nak tengok saya berlakon macam 'kayu' ini, ambillah. Kalau tak yakin, baik tak payah," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Datuk Red, apa yang dikongsikan pada hantaran video yang memaparkan hubungan rapatnya bersama anak-anak juga bukanlah lakonan atau drama keluarga yang cuba dipersembahkan kepada khalayak.

"Macam yang orang tahu sebagaimana dimaklumkan, saya punya 'style' memang dengan anak-anak, saya kalah. Macam mana pun, saya akan tetap dahulukan mereka (anak).

"Itu fasal macam video saya bersama anak-anak dengan Adira apabila Anggerek pun tegur, papa dah ada duit ke? Itu memang kenyataan dan bukanlah drama yang dibuat-buat.

"Lagipun, dulu kalau saya ada duit memang selalu belanjakan untuk anak berbanding keperluan diri saya sendiri," katanya yang kini meraih pendapatan di media sosial sebagai 'TikToker'.

Sebelum ini, Datuk Red bersyukur mendapat rezeki sebagai model baju Melayu untuk gedung pakaian terkemuka, termasuk ditawarkan pekerjaan oleh jenama kambing perap popular serta menjadi penjual kuih raya.

Pada 24 April ini, Datuk Red dan isteri keduanya, penyanyi Adira, 32, akan menjalani proses Hakam selepas prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 5 Mac lalu gagal kerana Adira tetap mahu bercerai.

Selain Adira yang memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, tindakan sama juga dibuat isteri pertama Datuk Red iaitu Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim atau Datin Red.

Datuk Red dan Adira berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 2:41 PM