DATUK Red dan Adira
DATUK Red dan Adira
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi Adira Suhaimi, 32, bersemangat membantu promosi biskut raya yang dijual suaminya juga usahawan, Datuk Red atau Datuk Seri Adenan Abu, 46, pada hantaran dikongsikan di akaun Instagram miliknya.

Dalam video dimuatnaik itu turut menampilkan anak sulung mereka, Anggerek, 7, bersama Adira mempromosi dua jenis biskut raya dijual Datuk Red yang boleh didapati di 'beg kuning'.

Kita sokong Datuk Red jual biskut raya. Boleh dapatkan di 'beg kuning',"' tulisnya pada kapsyen hantaran video itu.

Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen menyokong tindakan Adira dan menyifatkan dia isteri yang baik kerana masih sedia membantu suaminya itu.

"Apabila isteri yang reda maka dia akan melalui kehidupan dengan berdamai," komen netizen.

"Terbaik la walaupun hadapi dugaan bercerai tapi tetap sokong suami dan tidak memburukkan pasangan," tulis wargamaya.

"Bukan Tok Red yang hebat.. Adira ni yang hebat," komen pengikut Instagram Adira.

Datuk Red berkata, Adira memang seorang yang baik dan banyak menghulurkan bantuan kepadanya selama ini.

"Dia (Adira) boleh simpan aib saya. Tak pernah dia 'buka' apa-apa. Biarlah orang kata kenapa saya puji itu semua, sebab Adira ini ramai orang kenal.

"Bagi yang kenal Adira, memang tahu dia sibuk dengan hal sendiri saja. Dia memang tak bercerita tentang oran lain," katanya kepada Harian Metro.

Menerusi hantaran video di akaun TikTok miliknya, Datuk Red terharu dengan sikap Adira terhadapnya kerana sudi membantu promosi produk perniagaannya, biskut raya itu.

"Kalian tengok, dia (Adira) ada 'post' video (promosi kuih raya). Ada nampak lah sinar itu, haraplah. Terima kasih pada tuan puan yang mendoakan," katanya.

Selain mengalami masalah kewangan hingga muflis, Datuk Red juga berdepan kes tuntutan perceraian daripada dua isterinya iaitu Adira dan Datin Red atau Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 3:55 PM