RAMAI dalam kalangan anak seni tempatan miliki taraf pendidikan tinggi hingga ke peringkat PhD.
RAMAI dalam kalangan anak seni tempatan miliki taraf pendidikan tinggi hingga ke peringkat PhD.
Georgie Joseph


TANGGAPAN sinis bahawa golongan artis atau anak seni kurang berpendidikan sudah boleh dibuang jauh-jauh. Industri hiburan tempatan boleh berbangga ramai artis kita kini menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Hakikatnya, segelintir nama yang sudah memiliki PhD bukan figura biasa. Mereka berada pada legasi tersendiri dan cukup disanjungi mengikut bidang masing-masing.

Namun, perjalanan di sebalik mengejar gelaran itu hanya mereka yang faham laranya. Justeru, berjaya sampai ke garisan penamat dan habiskan pengajian tentunya cukup manis untuk dikenang.

Bagi komposer dan penulis lirik, Dr Azmeer atau nama sebenarnya Mohd Azhar Abu Bakar, 58, kecekalan serta kekuatan mental adalah senjata paling penting menghabiskan PhD.

"Kalau seseorang itu tak kuat, tak tersusun tesisnya, dia akan mengalah. Kita tak boleh berehat lama. Susah apabila nak kumpul balik semangat dan disebabkan itu ramai orang putus asa, tak tahu mana hendak bermula balik.

"Paling lama saya berehat pun satu atau dua hari kemudian sambung balik. Sebuah perjalanan yang saya rasa puas. Menggenggam ijazah itu lebih manis daripada menang Anugerah Juara Lagu," kata pemegang PhD Pengurusan Industri Kreatif Warisan Budaya dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Dr. AZMEER
Dr. AZMEER

Jika harus memilih, Azmeer juga lebih bangga gelaran doktor berbanding Datuk.

Katanya, gelaran doktor itu dikejarnya sejak awal untuk hadiahkan dan membanggakan bapanya, Abu Bakar Mohd Ishak.

"Ada yang suruh saya mohon gelaran Datuk. Bukan tak nak, tapi kalau dapat Datuk, hilanglah gelaran doktor itu nanti. Penat-penat saya belajar daripada ijazah sarjana muda sampai PhD.

"Bagilah saya guna gelaran doktor itu dulu. Bukan saya meninggi diri tapi saya bangga kerana bapa saya bangga. Bukan sekadar kepuasan diri, tapi ibu bapa kita yang akan merasanya walaupun mereka tak cakap," katanya.

Azmeer yang juga Pengarah Kebudayaan di UUM menyedari gelaran itu mampu membuka pelbagai peluang kerjaya lain. Selain itu, paling dirasainya adalah bila mana dia disanjung tinggi kerananya.

"Bila kita ada gelaran doktor, apa kita cakap nilainya cukup tinggi. Ia bukan omong kosong, jarang cakap hal-hal merepek melainkan senda gurau. Apa-apa boleh jadi silap tapi ilmu tidak akan pernah silap.

"Kalau nak jumpa menteri dan tetapkan temujanji pun, kalau miliki gelaran doktor, ada kelebihannya. Bahkan, orang akan minta nasihat disebabkan ilmu dan pengalaman yang dimiliki.

"Ada yang datang kepada saya kerana disuruh ibunya. Itu yang saya suka dengar. Bagi saya cukup manis, pasal ilmu orang-orang tua memang arif. Walaupun orang lebih tua ada perspektif sendiri, mereka dengar cakap saya," katanya.

Dr Ahmad Idham

Pelakon, pengarah dan penerbit, Dr Ahmad Idham, 49, berkata, secara peribadinya dia puas berjaya lunaskan misinya yang dikejar sejak dulu. Kepercayaannya teguh bahawa anak seni perlu berpendidikan.

"Kalau ikuti sejak awal saya masuk industri hiburan, saya antara yang selalu menekankan anak seni harus ada pelajaran. Sampai ada pertikai mentang-mentanglah saya berpelajaran, orang lain tidak.

"Ketika era saya bermula dulu, anak-anak seni yang berpelajaran tidak ramai. Pandangan masyarakat di luar sana, industri seni ini sesiapa boleh masuk. Jadi saya cuba bawa satu kesedaran.

"Kesudahannya nanti, kerjaya seni adalah kerjaya profesional dan perlu miliki latar belakang pendidikan yang bagus. Dalam pada mengecap populariti, intelektualnya juga sangat baik," katanya.

Pemegang PhD Pengurusan dari UUM itu mendedahkan apabila sudah senior dalam industri, dia dapat banyak juga tawaran ceramah motivasi buat anak muda.

"Kebetulan UUM membuka tawaran PhD untuk golongan industri hiburan. Saya mohon untuk buat ijazah sarjana dulu kerana cuma ada ijazah sarjana muda. Namun, saya layak dilompatkan ke PhD kerana ada pengalaman 15 tahun dalam industri berkenaan.

"Saya terus terima kerana merasakan besar manfaatnya untuk orang industri ada akademik. Pemain-pemain besar dalam industri boleh menggunakan kepakaran itu untuk menjadi tenaga pengajar.

"Ketika ini, banyak kolej dan universiti buka tawaran pensyarah sambilan. Namun, malangnya ramai yang tiada sijil kelayakan. Jadi, pengalaman itu tiada nilai. Bila ada sijil, itu yang diambil kira untuk menentukan nilai seseorang," katanya.

Antara sebab dia mencabar diri mencapai kelayakan akademik tertinggi juga demi jaminan masa depan.

Misalnya jika dia tinggalkan bidang seni, sekurang-kurangnya boleh guna kelayakan itu dengan menjadi tenaga pengajar.

"PhD adalah satu daripada tahap akademik tertinggi. Memang saya tak nafikan ia susah kerana sebuah perjalanan mempertahan hujah kita dalam sebuah tesis. Terlalu banyak bacaan dan kajian kena buat untuk subjek fokus kita.

"Setiap masa kita akan diprovokasi penyelia sehingga mencabar minda supaya boleh jawab setiap aspek, kemudian tekan pemikiran ke tahap lebih jauh. PhD bukan boleh beli macam gelaran Datuk. Kita kena usahakannya. Memang kena tanam semangat kental.

"Saya puas apabila dapat membuktikan diri kepada orang bahawa saya seorang anak seni berpelajaran tinggi. Kerana itulah apa saya perjuangkan dari dulu supaya tidak dipandang rendah dan disanjung ada nilai intelektual tinggi," katanya.

Soo Wincci

Artis serba boleh, Dr Soo Wincci, 39, mungkin di tingkat teratas pencapaian akademiknya. Bukan satu, tapi dua PhD dalam genggamannya iaitu bidang pentadbiran perniagaan dan artistik produksi.

Baginya, akademik yang menyelamatkannya untuk teguh berdiri melalui pelbagai rintangan bersendirian. Namun, selama lebih 15 tahun tidak menjadi kudis buat dirinya terus mengejar ilmu.

"Gelaran Dr itu menjadi manis apabila hala tuju mana saya ingin menyumbang dalam industri hiburan semakin jelas. Saya memang selalu ingin menambahbaik industri hiburan dengan menyumbang sebagai pelopor dan tenaga pengajar.

"Saya tidak nafikan pada PhD pertama, memang bergelut juga dan ambil masa. Ia menjadi senang buat PhD kedua kerana subjek fokus saya pun dibantu banyak aspek pembabitan dalam industri seni," katanya.

Pernah mencipta dan menempa nama di luar negara, Wincci turut berkongsi mengenai kesukaran seseorang artis untuk mendapat tempat di seberang laut, tanpa ilmu dan pencapaian.

SOO WINCCI
SOO WINCCI

"Di beberapa negara seperti China, Sepanyol dan Amerika Syarikat, kalau anda seorang artis, hanya satu hingga dua peratus saja yang akan mendapat visa dan hanya boleh menetap selama setahun.

"Tapi, kalau anda lanjutkan pelajaran hingga PhD dan dapatkan posisi dalam bidang pendidikan, anda boleh menetap selama lima tahun dan mungkin boleh mendapatkan status penduduk tetap secara percuma," katanya.

Disebabkan akademik juga, Wincci diiktiraf sebagai Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak oleh Malaysia Book of Records.

Najwa Latif

Kini di tahun kedua pengajian PhD, penyanyi Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 28, cabaran sangat terasa pada aspek disiplin. Dia kena selalu ingatkan tanggungjawab itu dipikulnya secara tunggal.

Tahun lalu, setahun berlalu begitu saja tanpa saya ada menulis apa-apa. Disebabkan itulah saya berhenti kerja sekejap sebab kalau masih mengajar dan buat PhD, fokus saya lebih kepada mengajar.

"Alhamdulillah, saya dapat fokus selama lima bulan untuk siapkan kertas cadangan. Ia belum sempurna, ada banyak penambahbaikan lagi perlu buat. Tapi, sekurang-kurangnya saya luangkan masa untuk siapkan juga.

"Betullah orang cakap, bila buat PhD itu memang rasa beban seorang diri. Ia akan sentiasa menghantui fikiran sekiranya belum ada pergerakan. Itu antara tekanan yang saya letak dalam diri," katanya.

Pengorbanan tinggalkan kerjaya tetapnya sebagai pensyarah juga keputusan cukup besar.

Menurutnya, dia berhenti tanpa ada jaminan sebarang pekerjaan lain dan tidak tahu bila lagi dapat menjadi pensyarah semula.

"Saya menyoal diri, betulkah apa yang saya buat? Ia sesuatu yang tak pasti. Saya pun tak pasti habis bila kan (PhD)," katanya.

NAJWA LATIF
NAJWA LATIF

Penyanyi yang popular dengan lagu Kosong itu juga tiada strategi selain tidak putus asa jika benar-benar mengejar PhD.

"Pegangan itu harus paling kuat kerana kalau melihat kawan-kawan saya yang sudah bergelar doktor,ayat mereka ulang-ulang pasal jangan putus asa.

"Memang orang akan cakap kena konsisten, tapi pada masa sama jangan sesekali mengalah. Kalau betul nak dapat gelaran doktor, pastikan ada motivasi diri, jangan putus asa sampai garisan penamat.

"Perjalanan orang lain-lain. Mungkin untuk saya, mungkin tiga hingga 10 tahun baru habis. Nikmati saja perjalanan itu tanpa ada keinginan untuk mengalah," katanya.

Najwa yang memiliki Sarjana Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaya (UM) pernah bertugas sebagai pensyarah Universiti Selangor (Unisel).

Ketika ini, dia masih dalam proses menjalani pengajian PhD dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 6:30 AM