komposer Dr Azmeer Abu Bakar
komposer Dr Azmeer Abu Bakar
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Bagi saya ia pencapaian yang melebihi Anugerah Juara Lagu (AJL) apabila kita naik atas pentas ambil skrol.

"Kepuasan, penat lelah selama bertahun-tahun untuk dapat gelaran Doktor bukan senang tetapi berbaloi. Usaha itu tak sia-sia bagi saya."

Demikian kata komposer Dr Azmeer Abu Bakar apabila menghadiri sesi konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini sebagai Pensyarah.

Azmeer atau Mohd Azhar Abu Bakar sebelum ini menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif Warisan Budaya pada majlis konvokesyen ke-34, Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah pada November 2021.

Dia yang sebelum ini bergelar pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) di UUM kampus Kuala Lumpur, kini bergelar Pensyarah dan Pengarah Pusat Budaya & Seni UUM sejak 1 Mei 2023.

"Dah empat tahun memasuki tahun kelima saya di UUM. Saya pun dah menetap di Changlun, Kedah dan sesekali balik Kuala Lumpur.

"Rasanya kita perlu tuntut ilmu sampai ke liang lahad. Tidak ada had umur. Untuk konvokesyen hari ini pun kita ada rakan-rakan artis antaranya Tomok, isteri Datuk Ramli Sarip, pengurus Jac Lynn Victor dan ramai orang industri lain yang sambung pengajian ijazah di UUM KL.

"Saya juga alumni UUM dan ambil PhD di UUM. Anak-anak insan seni boleh sambung belajar kerana UUM ada bermacam-macam program industri kreatif. Kita ada program asasi dan sebagainya untuk sampai ke ijazah, master dan PhD. Tiada istilah terlewat," katanya kepada Harian Metro.

Azmeer, 57, menganggap dirinya tidak pernah terlambat untuk menyambung pengajian.

"Apa sahaja boleh berlaku kesilapan tetapi akademik atau pembelajaran takkan silap bagi saya. Teruskan dan sambung belajar.

"Memang agak susah sikit, bukan senang tetapi kena bagi masa dan selepas itu ia adalah masa untuk kita mencurah ilmu kepada anak-anak muda. Jadi ilmu kita pelajari sepanjang karier kita ini taklah sia-sia.

"Saya sedih ilmu yang ada pada Allahyarham Tan Sri P Ramlee terkubur begitu saja. Jadi, bagi saya kita orang seni yang ada banyak pengalaman ini satu alternatif ialah sambung belajar dan curah ilmu kepada generasi muda supaya mereka melakukan kerja seni dengan tertib dan cara yang betul," katanya.

Azmeer yang banyak menghasilkan lagu popular seperti Purnama Merindu dendangan Datuk Sri Siti Nurhaliza, Cinta Adam dan Hawa oleh Misha Omar dan Menadah Gerimis yang dipopularkan Ziana Zain, mendedahkan dirinya juga banyak melakukan kesilapan dalam kerja seni sebelum ini.

"Tapi bila saya belajar, saya tahu kesilapan-kesilapan saya dalam cabang seni. Selepas ini saya dapat curah ilmu dengan cara betul, disertakan dengan pengalaman.

"Itu yang saya nak semua peringkat umur-umur saya kalau boleh sambung belajar dan curah ilmu kepada generasi muda. Warga seni boleh menjana aktif income yang bukan hanya yang pasif.

"Bererti kalau jadi pensyarah, pegawai kebudayaan dan tutor, kita ada gaji bulan dan boleh dapat pendapatan pasif dengan show-show luar," katanya.

Menurutnya lagi, dia masih aktif mencipta lagu dan menjadi juri pertandingan berprestij seperti AJL dan ia dikira tugas rasmi dan dibenarkan oleh UUM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 2:55 PM