MUHAMMAD Sanusi ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Serbaguna Jawi. FOTO Mikail Ong
MUHAMMAD Sanusi ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Serbaguna Jawi. FOTO Mikail Ong
M Hifzuddin Ikhsan


Nibong Tebal: Kelayakan akademik semata-mata tidak boleh dijadikan pengukur kepada kelayakan seseorang bagi menjadi pemimpin politik yang cemerlang pada masa hadapan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ramai pemimpin politik di negara ini tidak mempunyai kelayakan akademik tinggi, tetapi berjaya dalam tugas.

Jelasnya, berikutan itu calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap, Abidin Ismail dilihat sebagai calon terbaik ditampilkan di kerusi berkenaan.

"Ramai pemimpin politik tiada kelulusan apa tapi intelek juga, intelek bukan kelulusan akademik sahaja. Kena ada adunan semuanya, kelulusan akademik semata-mata tidak menjamin kecemerlangan ahli politik.

"Tapi kena ada kelulusan akademik juga. Ramai wakil rakyat sekarang ini tak ada PhD (Ijazah Doktor Falsafah), saya tak ada Phd, tak ada ijazah sarjana," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, terdapat pelbagai faktor lain bagi melayakkan seseorang menjadi pemimpin politik yang berkesan.

"Itu saya kata bukan bergantung semata kepada ijazah dan kelayakan akademik sahaja, ada banyak faktor lagi untuk jadi pemimpin di dalam bidang politik.

"Disebabkan itu kita melihat kesesuaian di sini adalah dia (Abidin). Kekuatan akademik itu calon satu lagi, jadi biar dia tonjolkan," katanya.

Sebelum ini, kelayakan akademik calon PN, Abidin, 56, dipersoal banyak pihak berikutan kelulusannya tidak dipamerkan pada poster calon berbanding calon Pakatan Harapan, Joohari Ariffin, 60, yang memiliki kelayakan PhD.

PRK Dun Sungai Bakap menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Joohari yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dan Abidin yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 12:15 PM