GANDINGAN mantap Afif dan Nikki dalam Dugaan Takdir Cinta.
GANDINGAN mantap Afif dan Nikki dalam Dugaan Takdir Cinta.
Zaara Talita

PEMINAT drama rantaian, Takdir Itu Milik Aku yang diadaptasi dari novel Siti Rosmizah pasti sudah hadam dengan lagu menyentuh jiwa yang digunakan dalam naskhah berkenaan.

Selain lagu tema karya agung itu, single berjudul Dugaan Takdir Cinta ciptaan Ejai Aziz dan Kelana dengan lirik dihasilkan Siti Rosmizah sendiri turut menjadi dendangan drama 40 episod berkenaan.

Dugaan Takdir Cinta adalah lagu duet yang menyatukan Afif Tirmizie dan Nikki Palikat untuk mewarnai lagi naskhah yang menampilkan Emma Maembong dan Shaheizy Sam selaku teraju utama.

Lebih istimewa, lagu duet ini juga adalah gabungan pertama Afif dan Nikki dalam lagu dan petanda bermulanya sejarah tersendiri dalam perjalanan karier muzik mereka.

"Sudah lama tidak merakamkan lagu duet. Semestinya saya gembira dan berbesar hati dengan tawaran ini. Apatah lagi, lagu ini dihasilkan khas untuk drama yang bersiaran ketika ini.

"Bagi saya, lagu ini unik kerana ia berbeza dengan lagu berunsur cinta yang lain. Lirik lagu ini menunjukkan ada prasangka yang wujud antara pasangan bercinta. Meskipun mereka ditakdirkan bersama, namun dugaan tetap melanda.

"Saya sendiri pernah mengalami keadaan seperti ini, yang menjadikan lagu ini penuh makna dan memberi erti peribadi buat saya. Apa yang menarik, saya juga sangat suka vokal Afif.

DUGAAN Takdir Cinta lagu runut drama Takdir Itu Milik Aku.
DUGAAN Takdir Cinta lagu runut drama Takdir Itu Milik Aku.

"Malah di peringkat demo pun, penghayatan yang diberikan sangat luar biasa dan menjadikan proses rakaman begitu menyeronokkan. Maka kami menjadi lebih mudah berkarya," kata Nikki.

Sementara itu, Afif berkata, selain perlu menyesuaikan melodi mengikut cita rasa pendengar masa kini, cabaran lain dihadapi adalah mencari penyanyi wanita sesuai bergandingan dengannya.

"Saya adalah penyanyi lelaki pilihan Siti Rosmizah dan mereka menghadapi cabaran atau misi mencari pemilik suara wanita pada ketika itu dan akhirnya mereka membuat keputusan memilih Nikki Palikat iaitu naib juara Gegar Vaganza musim kelapan pada 2021.

"Apabila saya dapat tahu saya menyanyikan lagu Dugaan Takdir Cinta bersama Nikki Palikat, saya sangat teruja akan kolaborasi ini kerana kepakaran dan kemahiran vokalnya, menjadikan proses rakaman ini mampu

berjalan lancar," katanya.

Afif memulakan langkah dalam bidang seni sebagai seorang anggota kumpulan The Fabulous Cats dan Nukilan.

Dalam pada itu, drama Takdir Itu Milik Aku mengisahkan mengenai Dian Zara, seorang gadis lurus dan bersih hatinya menumpang kasih dengan neneknya.

Manakala ibu saudaranya iaitu Kamisah tidak henti-henti menyeksa hidupnya. Dian disuruh menjadi orang gaji sebelum dipaksa kahwin. Episod duka bermula hanya kerana dia hamil anak cacat.

Selain Emma dan Sam, drama ini turut dijayakan oleh Liza Abdullah, Jasmin Hamid, Mustaqim Bahadun, Datuk Fauziah Nawi, Mak Engku Farida, Naszsally dan Riz Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 6:20 AM