Siti Nurhaliza.
Siti Nurhaliza.
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Kegagalan ramai peminat yang tidak dapat membeli tiket konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza menyebabkan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza 'didesak' untuk menambah sehari lagi persembahan.

Siti berkata, pihaknya tidak mungkin dapat berbuat sedemikian kerana sudah menghampiri sambutan Ramadan yang dijangka pada 12 Mac 2024.

"Tidak berjanji untuk menambah hari persembahan kerana sudah menghampiri Ramadan dan untuk sehari awal juga tidak, kerana mahu memastikan gerak kerja teknikal dan produksi lancar pada hari yang sepatutnya.

"Misi kami di Yayasan Nurjiwa sewaktu memutuskan untuk meneruskan juga sebuah persembahan atau konsert di Axiata Arena kerana kami sudah pun membayar sewa atau deposit sejak awal tahun ini. 

"Sepatutnya konsert ini dilangsungkan pada Julai lalu namun kami tangguhkan kerana baru sahaja menjayakan konsert Satu Suara Vol.3 pada Mei lalu. Jadi, kami mohon penangguhan dan mendapat tarikh baharu daripada pihak Perbadanan Stadium Malaysia dan Axiata pada 9 Mac 2024," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram, Siti berkata, keputusan menganjurkan konsert itu dibuat selepas memikirkan segenap sudut.

Menurutnya, tujuan konsert itu juga antara lain mengajak orang ramai untuk turut menyumbang bagi membantu dalam misi kebajikan dan kemanusiaan yang dijalankan Yayasan Nurjiwa.

"Kami tidak mahu ada tindakan yang tersalah, keputusan yang silap walaupun mungkin anda juga memahami situasi terkini lebih-lebih lagi mengadakan konsert atau hiburan. Namun, tetap kami yakin apa yang ingin dilakukan adalah sebahagian usaha ke arah apa yang kami sudah usahakan. 

"Bagi anda yang mengikuti Yayasan Nurjiwa, pasti mengetahui kluster utama kami adalah memberi bantuan kebajikan, kemanusiaan, agama, pendidikan dan bantuan Palestin. Yayasan Nurjiwa juga ada matlamat yang lebih besar dan luas lagi dengan ketibaan bulan Ramadan dan Syawal sejurus selepas konsert ini.

"Ini adalah usaha dan kelangsungan daripada apa yang telah, sedang dan bakal Yayasan Nurjiwa lakukan. Kami ada misi yang besar untuk terus beramal dan membantu masyarakat dan tentunya apa yang anda sumbangkan menerusi persembahan ini adalah ke arah semua kerja amal dan kebajikan," katanya.

Terdahulu, tiket konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung pada 9 Mac tahun depan habis terjual dalam tempoh dua jam.

Siti berkata, pihaknya meminta maaf kepada semua yang tidak mendapat tempat pada persembahan mega solo di Axiata Arena itu nanti.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 11:30 AM