Suami mewakili Mizz Nina, Essam Muhammad hadir bagi proses Sulh berkaitan anak angkat Noh Salleh dan Mizz Nina di Mahkamah Syariah Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Suami mewakili Mizz Nina, Essam Muhammad hadir bagi proses Sulh berkaitan anak angkat Noh Salleh dan Mizz Nina di Mahkamah Syariah Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Georgie Joseph


Shah Alam : Prosiding sulh kes penjagaan anak angkat penyanyi Noh Salleh, 39, dan bekas isterinya Mizz Nina, 44, tidak jadi berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.

Ia berikutan pihak Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 44, memutuskan memfailkan penarikan balik untuk kes penjagaan penuh bagi anak angkatnya, Musa dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara.

Peguam syarie yang mewakili Nina, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, esok kes itu akan disebut di hadapan hakim untuk mengesahkan penarikan baliknya.

"Itulah perjalanan kes kami hari ini. Jadi tiada sulh sebentar tadi sebab kami sudah memfailkan penarikan balik. Sulh dibatalkan sebab pihak plaintif (Mizz Nina) tidak ingin meneruskan tindakan," katanya.

Menurut Fakhrul, Nina juga sudah mendapat mendapatkan hak penjagaan sementara itu selepas insiden Musa diambil tanpa kebenaran oleh Noh sebelum ini.

"Kami buat hak penjagaan sementara itu selepas anak itu yang kita kira sebagai dilarikan pada 19 Disember tahun lalu. Mizz Nina dalam perjalanan pulang ke rumah dan anaknya tiada.

"Jadi mereka membuat laporan polis dan sebagainya, tapi anak masih tidak dapat diserahkan. Disebabkan kita memasukkan permohonan ex-parte dan mahkamah sudah memberikan hak penjagaan sementara kepada Mizz Nina.

"Kita usaha dalam lima sehingga tujuh hari untuk mendapatkan tempat tinggal anak itu sebab segala hubungan untuk mendapatkan anak itu sudah disekat. Jadi kami berjaya mendapatkan anak itu dengan bantuan pihak polis melalui perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah," katanya.

Fakhrul menjelaskan pada 20 Februari tahun lalu, Noh sebenarnya sudah bersetuju memberikan anak angkat itu sepenuhnya kepada Mizz Nina.

"Tapi kita tak tahu kenapa pada Disember lalu dia pergi ambil anak itu. Bila kita sudah dapat anak selepas ex-parte dikeluarkan, proses pengangkatan itu sudah dilaksanakan dan semalam sudah disahkan bahawa penjagaan anak tersebut iaitu Musa diberikan sepenuhnya kepada Mizz Nina," katanya.

Fakhrul berkata, ibu kandung Musa sudah menyerahkan Musa sepenuhnya kepada Mizz Nina.

"Memang sebelum itu pada 20 Februari 2023 lalu dia sudah memfailkan akuan berkanun iaitu menyerahkan anak itu kepada Mizz Nina dan kemudian tiba-tiba dia memfailkan lagi untuk membatalkan akaun berkanun itu dan dia hantar pada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Tetapi bila ibu kandung Musa sudah membuat surat yang mengesahkan mahu memberikan anak itu kepada Mizz Nina seorang, jadi JPN tak ambil kira akaun berkanun yang dia hantar. Jadi secara rasmi ibu kepada Musa adalah Mizz Nina seorang," katanya.

Pada prosiding hari ini, Noh hadir ditemani dua peguamnya, Muhammad Shamsyuar Jasmin dan Megat Syazlee Mokhtarom.

Berita berkaitan:

'Apa-apa Noh boleh cari saya, bukan Mizz Nina' - Essam

'Saya tak culik Musa, kalau saya culik mesti saya sorokkan' - Noh

'Doakan yang terbaik' - Noh Hujan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 11:41 AM