ERUL Samah.
ERUL Samah.
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Penyanyi, Erul Samah mendedahkan single terbaharunya berjudul Salahkah ada kaitan dengan kisah cintanya yang putus di tengah jalan pada 2019. 

Menurut Erul atau nama sebenar, Khairul Najmuddin Abu Samah, 33, dia juga sudah membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya ketika itu.

"Semua persiapan sudah diatur termasuk urusan penajaan dan kami juga sudah mengadakan sesi fotografi untuk gambar kahwin.

"Tapi, malangnya si dia (bakal isteri) bertindak memutuskan hubungan dan tidak jadi meneruskan perkahwinan kami kerana sudah ada orang lain," katanya pada sidang media pelancaran single Salahkah di Seri Kembangan di sini, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman pahit itu lagi, kata Erul, dia mula berasa sedar siapa dirinya di mata pasangannya ketika itu.

"Saya berasa sedar diri kerana gaji saya tidak seberapa dan dia (bakal isteri) juga akhirnya memilih lelaki (calon suami) yang lebih kaya (berduit) dari saya," katanya.

Ditanya soal perkahwinan lagi, kata Erul, dia juga ada perancangan untuk berkahwin pada masa depan.

"Tipulah kalau saya beritahu tak nak kahwin. Cuma saya akan berkahwin bila diri ini sudah benar-benar bersedia untuk ke arah itu kelak," katanya.

Sementara itu, berkongsi perkembangan karier seni pula, kata penyanyi yang dikenali sebagai Raja Komen ini pelbagai kecaman dan kutukan diterima untuk mendapat tempat dalam bidang seni tanah air.

Kata, penyanyi yang digilap dari program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan ini, dia juga pernah buat apa sahaja untuk 'survival' dan berada di titik terendah dalam hidupnya dulu.

"Saya pernah tiada 'job' ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan pendapatan sebagai guru muzik juga tidak cukup kerana perlu menyara keluarga selepas bapa meninggal dunia.

"Selain nyanyian, saya juga berlakon dan pernah dibayar RM80 sebagai pelakon ekstra tanpa dialog demi kelangsungan hidup ketika itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 2:01 PM