Kuala Lumpur : Filem Tantiana yang bakal menemui penonton di pawagam pada 29 Februari depan bakal menampilkan lakonan terakhir pelawak popular Allahyarham Abam Bocey yang meninggal dunia pada 10 Februari 2020.

Penerbitnya, Datuk M Razlan Ismail berkata, Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan begitu menantikan peluang membintangi filem itu walaupun bukan sebagai pelakon utama.

"Ketika arwah Abam terbabit dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) kami selalu berborak mengenai filem ini di belakang pentas.

"Walaupun dia tahu peluangnya untuk menjadi watak utama agak mustahil, tapi dia tetap nak jayakan filem ini.

"Dalam filem ini dia memegang peranan sebagai Belon. Saya minta dia menjadi diri sendiri dan yakin penonton dapat 'melepas rindu' dengan keletah bersahaja Abam dalam filem ini," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Razlan, filem terbabit sudah menjalani penggambaran pada 2018, namun baru bersedia untuk ditayangkan di pawagam tahun ini.

"Pandemik Covid-19 adalah satu tamparan hebat buat industri perfileman tanah air. Selepas membuat sedikit penyelidikan mengenai pasaran dan potensi untuk filem tempatan ditayangkan di pawagam, saya yakin tahun ini adalah waktu yang tepat.

"Lagipun saya mengambil kira juga nasihat dan pandangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang meminta filem ini ditayangkan pada tahun ini melalui skim wajib tayang. 

"Walaupun filem ini sudah hampir lima tahun menjalani penggambaran, tapi kami mempunyai masa yang lama untuk menambah baik jalan ceritanya bagi menarik penonton ke pawagam," katanya.

Selain Abam, filem terbitan Dream At Work Sdn Bhd itu menampilkan ramai pelakon popular tanah air seperti Joey Daud, Datuk Rahim Razali, Tauke Jambu, Atikah Suhaime, Jay Iswazir, Zalif Sidek, Kazar dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 5:09 PM